IRFAN antara atlet yang menyumbang emas di Sukan SEA Singapura.
IRFAN antara atlet yang menyumbang emas di Sukan SEA Singapura.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Atlet olahraga jarak jauh negara bakal menerima kepakaran jurulatih dari Kenya Samuel Kipsang Rono (gambar) dalam usaha Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengembalikan kegemilangan acara itu, terutama bagi menghadapi Sukan SEA 2017.

Bagaimanapun hasrat KOM untuk mendapatkan khidmat jurulatih dari Jamaica Leo Almando Brown bagi acara pecut masih lagi dalam pertimbangan biarpun perkara berkenaan sudah dipersetujui dalam mesyuarat jawatan kuasa kerja KOM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) pada 5 September lalu.

Menurut Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim, sememangnya kehadiran Brown dan Rono amat diperlukan untuk membantu persiapan skuad olahraga negara menghadapi Sukan SEA di tempat sendiri.

“Bagaimanapun hanya Rono yang sudah pasti datang kerana kami masih lagi dalam perbincangan dengan Brown mengenai gaji walaupun pada dasarnya beliau juga bersetuju mengendalikan atlet pecut kita,” katanya.

Menurutnya, nama kedua-dua jurulatih itu disyorkan persatuan olahraga masing-masing dengan MSN memberikan lampu hijau untuk membawa Brown dan Rono ke Malaysia.

“Biarpun Brown dan Rono memiliki rekod cemerlang mereka hanya ditawarkan kontrak dua tahun. Seandainya gagal, kami tidak teragak-agak menamatkan kontrak mereka,” katanya. 

Berdasarkan rekod, Karim menjelaskan Brown pernah menjadi tulang belakang program pembangunan atlet di Jamaica selain melahirkan pemenang pingat Sukan Olimpik, antaranya Davian Clarke, Dennis Blake, dan Sandie Richards.

Rono pula dianggap jurulatih berpengaruh di Kenya dan bertanggungjawab membantu negara itu meraih emas menerusi Noah Ngeny bagi acara 1,500 meter Sukan Olimpik 2000 dan Benjamin Limo (5,000m) pada Kejohanan Dunia 2005.

Skuad olahraga negara sekadar meraih tiga pingat emas, dua perak dan sembilan gangsa pada Sukan SEA edisi ke-28 di Singapura Jun lalu.

Ketiga-tiga emas itu menerusi atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, Muhamad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 9:16 AM