Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sedang berusaha untuk mendapatkan kepakaran dua jurulatih asing yang berkualiti bagi memastikan atlet olahraga mempamer aksi cemerlang ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.

Kedua-dua jurulatih itu, iaitu Leo Almando Brown dari Jamaica serta Samuel Kipsang (Kenya) bagaimanapun perlu menunggu lampu hijau dari Majlis Sukan Negara (MSN) sama ada khidmat mereka diperlukan atau sebaliknya.

Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim berkata, kedua-dua jurulatih itu mempunyai latar belakang menarik.

“Almando Brown sebagai contohnya pernah menjadi tulang belakang program pembangunan atlet Jamaica.

“Sekarang ini kami perlu tunggu keputusan muktamad dari MSN selepas menyatakan perkara ini pada mesyuarat jawatankuasa kerja bersama MSN sebelum ini,” katanya selepas mesyuarat majlis KOM semalam.

Brown jurulatih pecut serta lari berpagar pernah membimbing beberapa atlet Jamaica meraih pingat di Sukan Olimpik, antaranya termasuklah Davian Clarke (400 dan 200 meter).

Sementara Kipsang pula pernah membantu Noah Ngeny memenangi pingat emas Sukan Olimpik acara 1500 meter pada 2000.

Pada sidang media semalam, Karim turut mengumumkan pelantikan Zainal Abas selaku ketua jurulatih olahraga negara yang baru.

“Sebelum ini kita hanya mengenali dia sebagai pengacara saja tetapi dia sebenarnya memiliki kelebihan sebagai jurulatih yang hebat dan mempunyai sijil yang diiktiraf,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:04 AM