NAZMIZAN saran KOM kembalikan penguasaan atlet jarak jauh
NAZMIZAN saran KOM kembalikan penguasaan atlet jarak jauh
Firdaus Hashim

SELEPAS kebangkitan menakjubkan daripada atlet olahraga khusus dalam acara pecut sejak dua tahun lalu, sudah tiba masanya Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengorak langkah dengan mengalih tumpuan kepada acara jarak jauh yang pernah didominasi oleh Malaysia sebelum ini.

Bekas ‘Raja Pecut’ Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad yang kini berkhidmat sebagai pensyarah kejuruteraan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, kemunculan beberapa atlet pecut seperti Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Jonathan Nyepa dan Haikal Hanafi serta Zaidatul Husniah Zulkifli bagi kategori wanita memperlihatkan kebangkitan yang begitu baik akhir-akhir ini.

Namun, senario itu nyata berbeza hampir 360 darjah buat atlet jarak jauh dan sederhana yang semakin tenggelam sejak era kegemilangan M Ramachandran dan P Jayanthi di era 80-an dan 90-an dulu.

Jelas Nazmizan, meskipun KOM dan Majlis Sukan Negara (MSN) ada mendapatkan khidmat jurulatih berpengalaman dari Kenya Samuel Kipsang Rono untuk membantu, namun masih tidak mampu melahirkan atlet terbaik dengan keputusan hambar di temasya Sukan SEA Kuala LUmpur Ogos lalu sebagai bukti.

“Bagi saya secara peribadi, skuad pecut negara sudah berada di landasan tepat untuk terus menggegar arena olahraga rantau ini apabila KOM berjaya menemui dan melahirkan pelari-pelari muda yang berbakat.

“Tetapi tidak dalam acara jarak jauh dan sederhana yang makin menunjukkan kemerosotan. Dulu kita memang hebat dalam acara 1,500 meter (m), 800m malah 5,000m juga, tapi sekarang kita ketinggalan begitu jauh biarpun sebenarnya mempunyai ramai atlet dalam jarak itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, kehadiran Rono yang pernah melahirkan pelari terkemuka Kenya, Noah Ngeny yang meraih pingat emas Sukan Olimpik 2000 dalam acara 1,500m harus digunakan sebaiknya oleh KOM untuk menggunakan kepakaran jurulatih berkenaan.

“Mungkin ada yang tak kena dari segi program yang diatur. Kita sebenarnya ada ramai bakat dalam acara jarak jauh di negeri-negeri yang boleh diketengahkan tetapi kenapa tidak berjaya.

“Mungkin Rono perlukan bantuan yang lebih lagi daripada semua pihak untuk menjayakan misinya ataupun mungkin corak latihan tidak sesuai dengan pelari negara berbanding pelari dari Afrika. Semua pihak kena duduk bersama dan mencari jalan terbaik untuk memperbaiki dan menaikkan semula acara itu,” katanya.

Ujarnya lagi, lambakan pertandingan larian maraton di seluruh negara juga menyumbang kepada kemerosotan acara jarak jauh dan sederhana apabila ramai atlet memilih untuk memberi tumpuan kepada saingan yang menjanjikan hadiah lumayan itu.

“Saya nampak hadiah lumayan dalam acara maraton juga punca kepada masalah ini. Cuba bayangkan, kalau hadiah yang ditawarkan kepada pemenang maraton RM10,000 berbanding menang pingat emas dalam acara 1,500m di kejohanan terbuka olahraga, sudah tentu atlet akan memilih acara maraton.

“Jadi saya sarankan, KOM untuk berfikir di ‘luar kotak’ dengan menawarkan hadiah lumayan juga dalam setiap sirkit terbuka kebangsaan bagi memupuk minta kepada atlet. Dalam soal ini, mereka (KOM) kena rajin mencari penaja dan jangan asyik harapkan bantuan MSN atau kerajaan saja, kalau tidak sampai bila-bila pun acara jarak jauh tidak akan meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 2:37 PM