Kuala Lumpur: Bekas pengendali skuad kebangsaan B Sathianathan mengesyorkan ketua jurulatih negara Dollah Salleh agar menguji keupayaan pemain berkelana di Perancis, Titus James Palani menjelang kelayakan Piala Dunia 2018 dan Asia 2019, bulan depan.

Mengakui mengenali pemain berusia 28 tahun itu, Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) berpendapat Titus harus diberi ruang untuk menunjukkan bakatnya yang sebelum ini sering dilupakan.

Katanya, beliau pernah memanggil pemain itu pada 2007 bagi menguatkan cabaran skuad negara menghadapi saingan Sukan SEA di Korat, Thailand namun hasratnya itu tidak kesampaian susulan masalah taraf kerakyatan yang menghalang Titus meninggalkan bumi Perancis.

“Saya pernah memanggilnya pada 2007 bagi persiapan skuad Bawah-23 negara, tapi terpaksa melupakannya.

“Ramai yang salah anggap ketika itu dengan berkata dia (Titus) kurang bagus serta tidak mahu bermain dengan pasukan kebangsaan hingga namanya disingkirkan. Tapi, semua itu tidak benar.

“Saya lepaskan Titus selepas mendapat tahu dia tidak boleh keluar dari Perancis untuk tempoh tertentu kerana sudah memohon taraf kerakyatan di sana.

“Sekiranya dia balik juga ketika itu, mungkin permohonannya terbatal dan secara tidak langsung akan mengganggu proses pembelajarannya bersama kelab bola sepak di sana. Jadi, saya terpaksa melupakannya kerana tidak mahu menyusahkan Titus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 8:38 AM