GAMBAR terkini Titus James bersama isteri dan anaknya. FOTO NSTP
GAMBAR terkini Titus James bersama isteri dan anaknya. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Berkelana hampir dua dekad dalam Liga Perancis nyata mematangkan Titus James Palani apabila dia muncul antara pemain Malaysia paling lama bertahan di bumi Eropah sejak berusia belasan tahun.

Titus, 32, yang kini beraksi di liga divisyen tiga Perancis bersama kelab CS Meaux, mengakui bukan mudah buatnya untuk berjauhan dengan keluarga, apatah lagi untuk tempoh lama.

Dia yang mula mencipta nama ketika berusia 13 tahun apabila berjaya menimbang bola 5,680 kali dalam satu pertandingan tempatan pada 1999, pernah melakukan penampilan untuk beberapa kelab, termasuk Nanteuil SC, FC Villenoy dan Normandy dalam liga bawahan Perancis.

Berkongsi pengalamannya, dia mengakui berdepan pelbagai dugaan dan halangan sepanjang tempoh berkenaan terutama membabitkan soal bahasa, cuaca dan makanan.

Katanya, walaupun pernah terfikir untuk pulang ke Malaysia, disebabkan minat yang terlalu mendalam untuk mengejar cita-citanya bermain di luar negara, dia tetap berusaha dan cuba menyesuaikan diri secepat mungkin.

"Sukar sebenarnya untuk kita tinggal lama di negara asing. Pelbagai cabaran timbul, terutama masalah bahasa kerana masyarakat di sini jarang menggunakan bahasa Inggeris.

"Jadi, saya kuatkan semangat dan belajar bahasa Perancis. Saya seorang diri ketika itu tapi bernasib baik kerana tinggal bersama keluarga angkat, jadi masalah bahasa itu sedikit demi sedikit dapat diatasi.

"Namun soal rindu kepada keluarga di Malaysia memang tetap ada. Tapi saya kuatkan mental dan cuba harungi dugaan ini dengan sebaik-baiknya. Satu saja rahsia saya, kuatkan mental dan anda akan boleh kekal lama, tidak kisah bermain di mana sekalipun," katanya ketika dihubungi di Perancis, hari ini.

Mengulas mengenai pemain tempatan yang kini beraksi di Liga Thailand, Shahrel Fikri Md Fauzi, Titus menasihati penyerang kelab Nakhon Ratchasima itu supaya terus tabah khususnya dari segi mental dan emosi jika mahu berjaya.

"Situasi dia mungkin sama dengan saya iaitu masalah bahasa dan makanan. Di Thailand rakyatnya berbahasa Thai dan mungkin sebab itu dia berasa sunyi kerana masalah komunikasi. Oleh itu, dia kena tabah bertahan termasuk cuba belajar bahasa mereka," katanya. 

Menerusi laporan Sukan NSTP semalam, Shahrel memuat naik entri di akaun Twitter miliknya, berkongsi rasa sunyi apabila sentiasa keseorangan sepanjang menjalani aktiviti harian di negara jiran itu.

Perkongsiannya menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dengan ada yang mula bimbang sindrom pulang awal sebelum tamat kontrak yang pernah berlaku kepada beberapa pemain tempatan seperti Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim Che Hashim, akan berulang.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 7:18 PM