Bella Astillah kini di Hangzhou, China.
Bella Astillah kini di Hangzhou, China.
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur : Dikala dakwaan kisah skandal suaminya, Aliff Aziz hangat dibicarakan di media sosial, namun Bella Astillah, 30, kini memberi fokus pada kariernya apabila berada di China kerana mendapat tawaran membuat persembahan nyanyian pada 30 April ini.

Ia dikongsikan Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah menerusi hantaran video terbaharu di Instagram Story miliknya yang memberitahu dia pada ketika ini sudah berada di negara itu.

"Saya sekarang berada di China dah, dan sangat-sangat gembira untuk menunggu 'show' (persembahan) pada 30 April nanti untuk Cherry. 

"Insya Allah, Bella akan terus buat kemas kini untuk kalian. Gementar, tapi pada masa sama teruja juga," katanya dari Hangzhou, China.

Meninjau hantaran lain dibuatnya, Bella turut berkongsi video dia mempromosi produk minuman kesihatan kepada pengikut media sosial, terutama wanita untuk mencari sumber pendapatan sebagai rakan niaga.

Video yang memaparkan rutin hariannya sebagai wanita berkerjaya dan ibu kepada dua cahaya mata itu, bagaimanapun tetap mempunyai masa menjaga penampilan peribadi serta mengutamakan kesihatan diri.

"Orang yang tengok, tidak sama dengan orang yang merasa. Terima kasih. Sumber rezeki Bella dan anak-anak Bella," tulisnya pada kapsyen video itu yang mendapat banyak maklum balas positif netizen.

"Bella cukup fokus pada kerja dan keluarga, biar orang ketiga ditangani Sarah," komen seorang wargamaya.

"Semoga Bella jadi ibu yang kaya raya, jangan toleh belakang!," tulis netizen.

"Sayang awak! You're strong and never alone (Awak kuat dan tak pernah bersendirian)," ujar seorang lagi warganet.

Terdahulu, kemelut rumah tangga Bella dan Aliff bermula selepas Aliff didakwa ditangkap khalwat bersama pelakon Ruhainies oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sebuah kondominium mewah di ibu kota, pada 9 Mac lalu.

Bella kemudiannya membuat keputusan memfailkan cerai terhadap Aliff di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Mac lalu, namun ketika sebutan kes pada 4 April lalu, Aliff enggan menceraikan Bella dan dibawa kepada laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP), 4 Jun depan.

Pasangan Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan pernah bercerai pada Mei 2019 kerana Aliff curang. Namun, mereka rujuk ketika masih idah dan dikurniakan dua cahaya, Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

Baru-baru ini juga, tiba-tiba muncul seorang wanita dikenali Sarah Yasmine yang mengakui dia adalah 'kekasih gelap' kepada Aliff dan mendakwa mereka sudah menjalin hubungan cinta sejak Januari lalu.

Sehingga kini, Sarah menjadi indivudu 'hot' yang tampil dengan pelbagai dakwaan bukti membabitkan hubungan Aliff bersama pelakon wanita tempatan seperti Ruhainies dan Sophia Albarakbah.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 1:21 PM