Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: “Pintu FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sentiasa terbuka buat mana-mana pemain, namun akhirnya hanya jurulatih akan menentukan yang terbaik buat pasukan.”

Demikian reaksi Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah mengulas mengenai pemain berkelana di Perancis, Titus James Palani untuk membantu skuad Harimau Malaya selepas dia disisihkan sejak sekian lama berhijrah ke Eropah 15 tahun lalu tanpa sekalipun mewakili pasukan kebangsaan.

Menurut Afandi, polisi diamalkan FAM dalam pemilihan pemain sejak dulu terletak di bahu jurulatih yang akan memanggil mana-mana pemain difikirkan menepati ciri-ciri dan gaya permainan yang ingin diterapkannya.

“Bagi FAM, kita sentiasa mengalu-alukan kehadiran pemain yang ingin mencurah tenaga bersama pasukan negara terutama mereka memiliki pengalaman luas seperti Titus.

“Tentu banyak perkara positif boleh diperoleh daripada Titus yang sudah begitu lama berada di luar negara. Cuma dalam konteks ini, jurulatih yang akan menentukan hala tuju sesebuah pasukan termasuk pemilihan pemain.

“Kita boleh cadangkan atau memanggilnya, namun dia harus buktikan kebolehannya di depan jurulatih. Apapun, kita ada prosedur yang harus diikuti dan dia juga tidak akan terlepas daripada melalui proses itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Kelmarin, menerusi laporan akhbar ini, Titus, 28, yang kini beraksi bersama kelab Normandy FC di Ligue 3, Perancis, menyatakan kesediaan untuk diuji selepas kali terakhir diberi peluang ketika skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk K Rajagopal.

Menurut bapa pemain tengah menyerang itu, James Palani, anaknya itu sudah lama memasang impian untuk menyarung jersi negara dan berharap pengendali ketika ini Dollah Salleh dapat menguji pemain kelahiran Brickfields itu dalam masa terdekat terutama bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Asia 2019 yang dijangka bersambung awal bulan depan.

Sementara itu, Afandi turut mengulas kedudukan bintang dalam pembikinan - penyerang Harimau Muda C, Kogileswaran Raj yang difahamkan bakal mengikut jejak abangnya Titus untuk mencuba nasib dalam Liga Perancis.

“Saya kira ahli keluarganya perlu faham mengenai perancangan yang sudah diatur untuk Kogi (Kogileswaran). Memandangkan pemain itu masih terikat dengan FAM, apa jua cadangan haruslah dibincangkan dulu.

“Bapanya perlu kemukakan terlebih dulu perancangannya kepada FAM sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 9:38 AM