Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sibuk mencari dan memantau perkembangan pemain berdarah naturalisasi terutamanya di Eropah, muncul Titus James Palani menyatakan kesediaan untuk diuji jika khidmatnya ditagih skuad Harimau Malaya.

Titus, 28, yang kini beraksi bersama kelab Normandy FC di Ligue 3, Perancis, dilihat antara prospek terbaik buat pengendali negara Dollah Salleh menguatkan barisan pasukannya selain mengharapkan kaedah naturalisasi itu menjadi kenyataan.

Menurut bapa pemain tengah menyerang itu, James Palani, anaknya itu pernah meluahkan hasrat menyarung jersi Malaysia namun selepas kali terakhir dipanggil ketika di bawah kendalian Datuk K Rajagopal, dia terus dipinggirkan.

Malah, ada juga suara sumbang menyatakan anaknya itu tidak berminat menabur bakti untuk negara.

“Terus terang saya katakan, dia (Titus) memang mahu bermain untuk negara sejak remaja lagi namun namanya sering ketinggalan malah kadang-kala dilupakan.

“Memang sebelum ini dia pernah dipanggil sebanyak dua kali ketika zaman B Sathaianthan dan Rajagopal menjadi jurulatih, tetapi dia terpaksa menarik diri atas sebab komitmennya bersama kelab di Perancis yang tidak melepaskannya ketika itu.

“Saya yakin dengan pengalaman luas dimilikinya sepanjang 15 tahun beraksi di Eropah, dia mampu membantu skuad negara yang ketika ini sedang sibuk mencari pemain kacukan di luar negara,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, pemain kelahiran Brickfields itu pernah menggemparkan peminat bola sepak tempatan apabila memecah rekod menimbang bola paling banyak pada usia muda. Lantas atas sokongan bekas jurulatih negara dari Perancis Claude Leroy, dia dihantar berkelana ke luar negara dengan menjadikan Perancis sebagai destinasi. 

Namun, berdasarkan rekod dia hanya mampu bermain di kelab divisyen bawahan di Perancis dan tidak pernah bermain untuk negara walaupun pernah dipanggil sebanyak dua kali sebelum ini.

“Kali pertama dia dipanggil pada 2007 di bawah kendalian B Sathianathan, tapi disebabkan masalah polisi taraf kerakyatan dia dilarang pihak berkuasa di sana untuk keluar dari Perancis. Malah, Sathianathan turut mengetahui masalah itu.

“Kemudian, Rajagopal pula menyenarai namanya tapi kali ini dia gagal memikat hati pengendali itu. Manalah tahu, kali ini Dollah berminat dan ingin mengambil dia bermain. Sudah pasti itu berita itu akan menggembirakan Titus yang sudah lama menyimpan cita-cita mahu bermain untuk Malaysia," katanya.

Sebelum ini, timbul cadangan untuk merekrut pemain naturalisasi selepas menyaksikan Pilihan Malaysia yang diperkuatkan dengan lima pemain import Liga Malaysia, berjaya mengikat Liverpool 1-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Julai lalu.

Malah difahamkan, FAM kini sedang berkira-kira untuk membawa masuk pemain pertahanan FC Brugge, Dion Johan Cools serta dua lagi pemain lain bagi menguatkan skuad Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 8:46 AM