Oleh Suliati Asri


Sihat sebelum bercuti di destinasi idaman bukanlah satu jaminan anda akan sihat sepanjang tempoh percutian itu.

Ini kerana apa yang akan berlaku masa akan datang , tiada siapa dapat menduganya dan ketika dalam perjalanan, sakit kepada, bersin dan demam mungkin boleh menyerang.

Perubahan suhu antara tempat anda dengan destinasi yang dituju boleh menyebabkan keadaan itu berlaku.

Keadaan mungkin bertambah teruk apabila anda bercuti di kawasan tanah tinggi dengan suhu yang sejuk atau keluar negara dengan perbezaan musim.

Mencegah memang baik daripada mengubati, tetapi jika senario buruk itu terjadi, mengubati adalah satu-satunya pilihan terbaik.

Justeru, jika anda jatuh sakit ketika melancong, tip melancong minggu ini mungkin dapat membantu. Selamat mencuba.

- Maklumkan keadaan anda kepada pramugari

Jika berasa sejuk ketika dalam penerbangan ke destinasi percutian, jangan ragu-ragu memberitahu pramugari anda tidak sedap badan.

Ini dapat membantu kerana pramugari akan memberikan anda bantal, selimut atau ubat supaya anda berasa lebih selesa.

Secara tidak langsung, anda juga boleh mendapatkan rehat yang cukup.

- Banyak minum air kosong

Apabila kurang sihat, selera makan akan berkurangan dan tekak bagaikan tidak boleh menelan makanan termasuk air kosong.

Namun, usahakan untuk minum segelas air kosong setiap 15 minit. Ia cara terbaik kerana tubuh kita memerlukan air yang banyak.

Apabila air kurang dalam badan, kita mudah diserang penyakit terutama selesema, batuk dan demam.

-  Tidur yangcukup

Tidur terapi yang cukup mudah untuk dilakukan dan ketika tidur, otak akan berehat, sel rosak diperbaiki dan mengeluarkan hormon negatif.

Justeru, apabila sakit, tidur sangat mustahak untuk membantu mengembalikan kecergasan dan kesihatan. Ini kerana selepas bangun daripada tidur, anda akan berasa lebih sihat.

Jika anda diserang selesema dan berasa tidak tahan dengan gejala dialami, minum ubat selesema atau demam sebelum tidur.

Ubat selesema dan demam yang mengantuk juga memberikan anda tidur yang lena sekali gus memberikan badan anda rehat yang cukup.

-  Rehat yang cukup

Ketika berasa kurang sihat, berehatlah selama beberapa jam. Jangan memaksa diri kerana percutian akan menjadi sia-sia dalam keadaan itu.

Keadaan mungkin akan menjadi teruk kerana kedegilan anda dan anda mungkin boleh pengsan ketika bersiar-siar atau ketika didalam perjalanan.

- Beritahu pihak hotel

Apabila tidak sihat, banyak kemungkinan boleh berlaku. Oleh itu, beritahu pihak hotel penginapan bahawa anda tidak sihat. Hal ini sangat penting terutama apabila anda menginap sendirian.

Dengan pemberitahuan itu, pihak hotel boleh membantu dari pelbagai aspek terutama membawa anda ke hospital atau klinik jika keadaan anda semakin teruk.

-  Persiapkan ubat-ubatan

Ketika melancong, bawalah ubat-ubatan yang sesuai dengan penyakit yang sering dialami seperti selesema, batuk, demam dan cirit birit.

Jika anda sendiri punya penyakit yang sering dialami seperti lelah atau alahan, jangan lupa membawa ubat terbabit kerana untuk mendapatkan ubat-ubat itu di negara luar mungkin menimbulkan sedikit masalah. Bawa jugalah ubatan yang bersesuaian dan sering anda gunakan.

-  Dapatkan pemeriksaan doktor

Apabila segala tip kesihatan diamalkan terutama minum air kosong, rehat dan tidur cukup serta mengambil ubat yang perlu tetapi masih tidak sihat, berjumpa dengan doktor adalah langkah terbaik.

Dengan mendapatkan pemeriksaan doktor, anda pasti akan diberikan ubat yang sesuai dan terbaik untuk masalah kesihatan yang dialami.

Anda juga boleh mencegah sakit yang dialami berlarutan dengan mendapatkan pemeriksaan doktor dan dapat meneruskan percutian yang sudah lama dirancang.

-  Siapkan baju panas dan bersesuaian

Pastikan anda membawa baju panas atau jaket walaupun bercuti ke tempat yang tidak terlalu sejuk. Ini antara langkah berjaga-jaga terutama apabila anda selesema.

Ini kerana, badan biasanya menggigil ketika selesema walaupun tempat yang dikunjungi itu mempunyai suhu yang panas.

Dengan adanya baju panas atau yang bersesuaian, anda boleh menggunakannya sebaiknya dan memberikan anda keselesaan.

-  Kepentingan insurans perjalanan

Ada orang menganggapnya tidak penting, justeru insurans perjalanan adalah perkara yang sering diabaikan ketika bercuti walaupun hakikatnya ia adalah perlindungan apabila berhadapan dengan perkara yang tidak diingini ketika di destinasi percutian.

Merasa rugi mengambil insurans perjalanan kerana setiap kali bercuti tidak pernah menggunakannya juga adalah antara faktor yang membuatkan ramai di antara kita tidak membeli insurans perjalanan.

Namun, apabila sakit semasa di destinasi, ketika itulah segala apa yang ditawarkan oleh mana-mana syarikat insurans perjalanan sangat diperlukan.

Dengan adanya insurans, segala kos perubatan anda akan ditanggung. Justeru, jangan pernah mengabaikan insurans perjalanan ketika pergi bercuti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 6:03 AM