Susunan Suliati Asri


Bercuti bersama-sama keluarga sama ada dengan kenderaan darat, laut ataupun udara sememangnya cukup memudahkan. Namun, di sebalik kesenangan dan kegembiraan dirasai, mabuk dalam perjalanan sering merosakkan kelancaran percutian terutama bagi si kecil.

Mabuk perjalanan (motion sickness) biasanya terjadi kepada sesiapa pun jika melakukan perjalanan darat serta laut dan ia juga boleh dialami menerusi perjalanan udara ataupun jet lag.

Tanda anak mabuk perjalanan antaranya mula meragam, gelisah, mengadu kepala pening, berpeluh walaupun suhu sejuk, berasa loya dan akhirnya muntah hingga boleh mengalami dehidrasi jika terlalu banyak mengeluarkan cairan.

Mabuk perjalanan bukanlah sesuatu yang serius kerana kebiasaannya ia hilang dengan sendirinya.

Namun adalah wajib untuk kita sebagai ibu bapa mengambil tahu tanda mabuk supaya lebih bersedia, sekali gus tidak menjadikan percutian yang dirancang bertukar kepada perkara lain.

Oleh itu, jom semak langkah mencegah mabuk perjalanan yang disenaraikan menerusi Tip Melancong minggu ini.

Kawal pemakanan

Berikan perhatian khusus pada makanan dan minuman diambil anak sebelum memulakan percutian. Hindari memberikan mereka terlalu banyak makan sebelum dan sewaktu dalam perjalanan.

Siapkan sekadar makanan ringan (yang tidak merangsang pedas, berminyak dan bau menyengat) di dalam kenderaan dan barulah memberi anak makanan berat ketika sampai di destinasi atau di hentian jika menempuh perjalanan jauh.

Pilih tempat duduk sesuai untuk anak

Bagi mengelak mabuk perjalanan, biarkan anak duduk di kerusi depan apabila menggunakan kereta, di belakang pemandu jika perjalanan menggunakan bas, di tepi tingkap pada barisan tengah jika menggunakan pesawat, duduk menghadap arah hadapan kereta bergerak dan di kabin tengah bahagian bawah jika menggunakan kapal laut.

Alihkan perhatian si kecil

Banyak cara supaya perhatian anak tidak hanya fokus pada rasa mual dan gelisah. Antaranya adalah dengan mendengarkannya muzik atau mengajaknya berbual-bual hal menarik di sepanjang perjalanan atau perancangan aktiviti setiba di tempat bercuti nanti.

Namun, perlu diingat untuk mengelak aktiviti bermain gajet atau membaca terlalu lama kerana terlalu banyak duduk dengan posisi menunduk boleh menyebabkan pening dan mual.

Arahkan pemerhatian anak ke luar menikmati pemandangan

Bagi mencegah mabuk perjalanan, jika si kecil mulai kelihatan gelisah, tidak usah panik.

Ajak anak ‘melupakan’ rasa mual itu dengan me­ngalihkan pemerhatian mereka terhadap perkara lain seperti menikmati pemandangan baru yang segar dan menyenangkan daripada tingkap kenderaan dinaiki.

Pilih waktu perjalanan yang sesuai

Jika ingin melakukan perjalanan, pilihlah pada waktu tidur anak boleh mengelak daripada mereka mengalami mabuk perjalanan.

Penting juga untuk membuat ‘tempat tidur’ yang cukup selesa di dalam kenderaan agar anak boleh tidur dengan nyenyak. Bawalah bersama patung, bantal atau selimut kesayangan anak.

Buka tingkap dan hirup udara segar

Jika menaiki kereta sendiri, sesekali buka tingkap kereta ketika melalui kawasan sejuk dan bebas habuk agar pengudaraan di dalam kenderaan lebih sihat dan anak lebih tenang.

Hindari bau-bauan

Untuk cegah mabuk perjalanan, elakkan si kecil menghidu bau-bauan yang boleh mengundang rasa mual sepanjang perjalanan.

Jadi, kurangkan penggunaan minyak wangi dan haruman kenderaan yang sangat menyengat.

Berhenti sekejap

Jika sudah kelihatan tanda anak mabuk perjalanan, berhenti sekejap daripada memandu dan biarkan si kecil turun daripada kereta dan menghirup udara luar.

Sekiranya tidak tahan untuk muntah, biarkanlah mereka muntah kerana ia akan mengurangkan ketidakselesaan dirasai mereka.

Bagi perjalanan jarak jauh, ambil masa sekejap untuk berhenti rehat misalnya selepas tiga hingga empat jam perjalanan, berhentilah selama 30 minit. Selain menyegarkan badan, rasa mual yang dirasai juga boleh hilang.

Mengambil ubat antimabuk perjalanan

Sebelum mengambil ubat perjalanan, sebaiknya anda membaca arahan penggunaan ubat dengan terperinci dan meminta nasihat daripada doktor terutama berkaitan dos yang sesuai mengikut usia anak.

Minum ubat sebelum memulakan perjalanan dan bukannya ketika di dalam perjalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 1:06 PM