MOHD Yusoff (kanan) menyampaikan cenderahati kepada jurulatih pasukan Frenz United B, S Balachandran sambil disaksikan Ihsan.
MOHD Yusoff (kanan) menyampaikan cenderahati kepada jurulatih pasukan Frenz United B, S Balachandran sambil disaksikan Ihsan.
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Lapan pasukan dari enam negara bakal berentap dalam kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2015 anjuran Frenz United FC dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermula 8 Ogos hingga 19 November depan.

Presiden Frenz United FC Datuk Ihsan Hamid berkata, lapan akademi bola sepak terbaik di rantau Asia yang akan menyertai saingan antaranya PVF (Vietnam), Kashima Antlers (Jepun), Chonburi FC (Thailand), Phnom Penh Crown FC (Kemboja), AIFF India (skuad 18 tahun India) serta tiga pasukan dari Malaysia iaitu Frenz United A dan B serta Felda United FC.

Katanya, apa yang menarik, edisi kali ini bakal disertai wakil Jepun, Kashima Antlers yang yang juga skuad paling berjaya di peringkat akar umbi negara itu selepas cemerlang menjuarai Piala Belia Jepun baru-baru ini.

Menurutnya, ACT akan terus menjadi kejohanan bola sepak perdana untuk kategori bawah umur yang mendapat pengiktirafan daripada kelab-kelab serta peminat bola sepak Asia.

“Selepas dua tahun penganjuran, Frenz United amat berbangga dengan pencapaian terbabit berikutan ia antara usaha meningkatkan kualiti dan pembangunan bola sepak di negara terbabit.

“Ramai pemain dari kelab bertanding sudah terpilih mewakili negara di kejohanan peringkat AFF dan AFC. Justeru kami berharap kecemerlangan terbabit akan diteruskan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya selepas majlis pelancaran kejohanan di Bandar Hilir baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Stadium Melaka yang juga Timbalan Presiden Melaka United (MU) Datuk Mohd Yusoff Mahadi serta pengurus pasukan yang bertanding.

Katanya, Frenz United serta Felda United akan menjadikan Stadium Hang Tuah, Melaka sebagai gelanggang rasmi yang membabitkan sembilan perlawanan dalam peringkat kumpulan manakala aksi selebihnya di gelanggang lawan.

Kumpulan A dibarisi Frenz United A, Felda United, Chonburi FC dan AIFF India manakala kumpulan B dihuni Kashima Antlers, Frenz United B , PVF FA serta Phnom Penh Crown FC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 12:21 PM