AKSI perlawanan Frenz United A menentang Chonburi FC di Stadium Hang Tuah.
AKSI perlawanan Frenz United A menentang Chonburi FC di Stadium Hang Tuah.
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Frenz United A gagal mengekalkan kelebihan jaringan sebelum seri 1-1 ketika berdepan Chonburi FC dari Thailand pada aksi kumpulan A, Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hang Tuah, malam kelmarin.

Walaupun berjaya mendahului pelawat pada minit ke-43 menerusi tandukan Rildo Raffael Ribeiro yang bijak memperdayakan penjaga gol Chonburi FC Chakhon Pilakhhang, Frenz United A tetap buntu dan gagal menemui sentuhan penyudah untuk menambah jaringan selepas itu.

Bermula babak kedua, pelawat mula mengatur gerak dan hasilnya, anak buah Naruephon Kaenson itu berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Rittidet Phensawat pada minit ke-63.

Tersentak dengan jaringan berkenaan, Frenz United menggandakan asakan namun strategi mereka tidak menjadi malah gagal menggunakan peluang keemasan menerusi sepakan percuma Fridokin Kristof pada minit ke-80 manakala rembatan Riswan Jusman pada minit akhir pula tersasar.

Chonburi FC yang juga juara edisi 2013 itu turut memiliki peluang terbaik menghasilkan jaringan namun percubaan Saharat Sontisawat pada minit ke-78 melepasi palang gol Frenz United.

Frenz United A serta Felda United menjadikan Stadium Hang Tuah, Melaka sebagai gelanggang rasmi pasukan sepanjang sembilan perlawanan di peringkat kumpulan.

Sementara itu, dalam saingan kumpulan sama yang berlangsung di sebelah petang, Felda United seri 0-0 ketika berdepan AIFF India.

Kumpulan A dibarisi Frenz United A, Felda United, Chonburi FC dan AIFF India manakala Kumpulan B dihuni Kashima Antlers, Frenz United B , PVF FA serta Phnom Penh Crown FC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:06 AM