NOOR Ihsan (tiga dari kanan), EXCO Eksekutif FAM Normala Yusof (tengah) bersama kapten pasukan memegang piala di Majlis Pelancaran Frenz U-18, semalam.
NOOR Ihsan (tiga dari kanan), EXCO Eksekutif FAM Normala Yusof (tengah) bersama kapten pasukan memegang piala di Majlis Pelancaran Frenz U-18, semalam.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Petaling Jaya: Aksi bertaraf ‘Piala Dunia’ bakal ditampilkan pada kempen Piala Antarabangsa Frenz B-18 2015 membabitkan saingan 16 kelab bermula esok.

Kejohanan menampilkan kelab ternama Eropah seperti Tottenham Hotspurs, Liverpool FC, Valencia CF, Porto FC, Feyenoord FC dan Besiktas FC selain Estudiantes FC dari Argentina dan kelab Brazil, SC Internacional menggalas cabaran kelab Amerika Selatan.

Kehadiran kelab terkenal Asia seperti Gamba Osaka dan Kashima Antlers dari Jepun serta kelab China, Guangzhou Evergrande turut merancakkan saingan.

“Sebagai pertandingan bola sepak peringkat remaja terulung di Asia, kami melihat Piala Antarabangsa Frenz berkembang dengan baik selepas bermula dengan lapan pasukan pada 2013, 11 pasukan pada 2014 kini mencecah 16 pasukan pada 2015.

“Saya berpandangan kejohanan ini kejohanan remaja kedua terbesar selepas Piala Dunia Remaja,” kata Presiden Akademi Bolasepak Frenz United Datuk Noor Ihsan A Hamid.

Menurut beliau, apa yang dilakukan pihaknya adalah demi pembangunan pemain dan memberi peluang kepada pemain menimba ilmu di peringkat tertinggi.

“Secara realistik kami mengambil pasukan yang boleh memberi manfaat kepada pemain tempatan. Kali ini lebih banyak negara tampil bersaing dan saya harap kita mampu mempelajari corak dan teknik permainan kelab dari Jepun, England, Argentina dan sebagainya,” katanya.

Frenz United sebagai penganjur akan menghantar dua pasukan, Frenz United Malaysia dan Indonesia.

Saingan membabitkan 16 pasukan dibahagikan empat kumpulan dengan Kumpulan A dan B dijadual berlangsung di Palembang, Indonesia manakala C dan D berlangsung di Malaysia dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan melangkah ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 6:59 AM