Kuala Lumpur: Frenz United A mengharapkan keajaiban akan berlaku apabila berdepan Kashima Antlers dalam aksi timbal balik di halaman sendiri di Stadium Hang Jebat, Melaka, selepas wakil negara itu tewas 0-3 pada aksi pertama final Trofi Juara-juara Asia (ACT), kelmarin.

Menurut pengendalinya, Steve McMahon (gambar) pasukannya tidak tertekan dengan kekalahan itu sebaliknya percaya Frenz United A mampu menterbalikkan semula defisit jaringan itu untuk memihak kepada mereka.

Jelasnya, kekalahan kepada wakil kelab Jepun itu tidak begitu meresahkan dirinya yang tetap positif dan tenang kerana tempoh 90 minit bakal menjadi penentu nasib pasukannya.

Malah, katanya dalam bola sepak apa jua boleh berlaku seperti mana yang pernah berlaku kepada Liverpool mereka apabila bangkit daripada ketinggalan 0-3 pada final Liga Juara-juara Eropah 2005 dengan menewaskan AC Milan menerusi tendangan penalti.

“Berikutan corak diperagakan pemain semalam (kelmarin), saya yakin kami boleh memperbaiki kelemahan yang ada untuk bangkit walaupun lawan mempunyai kelebihan tiga jaringan.

“Pemain saya meraih pengalaman berguna di sana (Jepun), namun sepanjang kerjaya saya dalam bola sepak banyak benda boleh berlaku. Mana tahu keajaiban boleh tercipta di tempat sendiri,” katanya.

Mengulas aksi final pertama di Stadium Bola Sepak Kashima itu, bekas pemain Liverpool itu mengakui wujud beberapa kelemahan terutama di bahagian pertahanan yang harus dibaiki sebelum aksi kedua nanti.

“Fokus saya adalah untuk memperkukuhkan benteng pertahanan kami yang agak mudah ditembusi penyerang lawan. Di samping itu, jentera serangan juga perlu memperkemaskan aksi dengan tidak mensia-siakan peluang yang ada agar misi untuk memburu gol tercapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 9:57 AM