PASUKAN Kashima muncul juara ACT 2015.
PASUKAN Kashima muncul juara ACT 2015.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Keajaiban diharapkan Frenz United A pada aksi final kedua Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2015 tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dengan Kashima Antlers sekali gus menyaksikan wakil Jepun itu muncul juara buat pertama kali menerusi agregat 4-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Pada aksi final pertama di Stadium Bola Sepak Kashima minggu lalu, skuad kendalian Steve McMahon tewas 0-3 dengan pasukan tuan rumah jelas menguasai hampir 70 peratus tempoh permainan.

“Saya kecewa dengan kekalahan ini terutama apabila kita ketinggalan pada awal permainan.

“Bagaimanapun, saya memuji semangat pemain. Cuma bukan rezeki kami untuk muncul juara kali ini. Apapun, Kashima Antlers sebuah pasukan kuat dan saya harap pemain akan lebih matang dan mempelajari sesuatu,” kata jurulatih Frenz United A itu.

Tampil dengan misi memburu jaringan awal, Frenz United A dikejutkan dengan jaringan pertama pelawat menerusi tandukan padu Koki Machida yang menyambut sepakan percuma pada minit ke-20.

Namun, barisan Frenz United A tidak mudah mengalah dan berhasil memperoleh gol penyamaan menerusi Muhammad Aep Maulana selepas menerima hantaran rendah Ronald Santana dari sebelah kiri pada minit ke-34.

Pemain tuan rumah meneruskan usaha keras mereka selepas rehat tetapi deretan peluang diperoleh gagal dimanfaatkan untuk membocori gawang Kashima Antlers.

Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga akhir perlawanan yang menyaksikan Kashima Antlers membawa pulang wang tunai AS$50,000 (RM218,000) manakala Frenz United A menerima AS$25,00 (RM109,000).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 8:22 AM