Pemain Frenz United A (tengah, jersi hitam) cuba melepasi kawalan dua pemain Frenz United B. - Pix FB Frenz Utd FC
Pemain Frenz United A (tengah, jersi hitam) cuba melepasi kawalan dua pemain Frenz United B. - Pix FB Frenz Utd FC

Melaka: Frenz United A bakal bertemu Kashima Antlers dari Jepun pada final Kejohanan Bawah 18 Tahun Trofi Juara-Juara Asia 2015 (ACT 2015) yang akan berlangsung di Stadium Hang Tuah pada 18 November ini.

Frenz United A layak ke perlawanan akhir selepas berjaya menumpaskan Frenz United B dengan agregat 5-1 pada peringkat separuh akhir, manakala Kashima Antlers menewaskan AIFF India dengan agregat 4-1 pada peringkat sama.

Dalam separuh akhir kedua di Stadium Hang Tuah malam tadi Frenz United A dibimbing oleh Steve McMahon tampak garang dan menguasai permainan bagi mempertahankan kelebihan 2-1 mereka pada perlawanan separuh akhir pertama 28 Oktober lalu di stadium sama.

Frenz United B dilatih oleh S Balachandran pada awal permainan nampak mampu memberi tentangan hebat bagaimanapun segalanya berubah apabila Fridolin Kristof Yoki membuka jaringan buat Frenz United A pada minit ke-57.

Seminit kemudian Riswan Yusman berjaya menambah gol kedua buat Frenz United A menewaskan penjaga gol Ade Candra Sena, sebelum Ronald Santana Rodrigues menambah derita Frenz United B dengan gol ketiga pada minit ke-90.

Pada satu lagi perlawanan separuh akhir kedua di Kashima Soccer Stadium di Jepun pasukan pilihan Kashima Antlers mudah menjinakkan AIFF India dengan jaringan 3-0 setelah seri 1-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama 28 Oktober lalu di Stadium Fatorda, India.

Kashima Antlers membuka jaringan minit ke-23 menerusi jaringan Yuto Osato sebelum pemain AIFF India iaitu Lalthakima menjaringkan gol sendiri pada minit ke-53.

Juriya Yoshioka menjaringkan gol ketiga Kashima Antlers pada minit ke-66 membolehkan pasukan ternama Jepun itu layak ke final dengan agregat 4-1. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 3:16 PM