KELAJUAN kenderaan, pencapaian serta kebanggaan PETRONAS dipamerkan.
KELAJUAN kenderaan, pencapaian serta kebanggaan PETRONAS dipamerkan.
PAPARAN video disertai lampu LED mewakili litar Sepang.
PAPARAN video disertai lampu LED mewakili litar Sepang.
STROK warna menyerlah meskipun dalam bentuk dua dimensi.
STROK warna menyerlah meskipun dalam bentuk dua dimensi.
INSTALASI gear kereta F1 sebenar dijadikan karya oleh Fairul Izwan.
INSTALASI gear kereta F1 sebenar dijadikan karya oleh Fairul Izwan.
AZZAD Diah.
AZZAD Diah.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) terbabit dalam sukan permotoran sejak awal 1988 sebagai penaja pasukan rali tempatan bersaing di peringkat dunia termasuk Fomula 1 (F1) pada 1995.

Melalui sukan permotoran, PETRONAS mampu meningkatkan keupayaan teknologi dan manusia melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) bahan api serta produk pelincir selain memupuk keupayaan teknologi tempatan dalam bidang kejuruteraan automotif.

PETRONAS memulakan langkah pertamanya menerusi penajaan pasukan F1 Red Bull-Sauber pada 1995 yang meletaknya seiring jenama antarabangsa.

Usaha terbabit dipertingkatkan pada 1999 apabila PETRONAS memperoleh hak penajaan Grand Prix F1 di Malaysia.

Pada 2005, PETRONAS meneruskan persepakatan lamanya dengan Sauber selepas menjadi Rakan Premium kepada pasukan F1 BMW Sauber, berikutan pengambilalihan kepentingan majoriti BMW dalam Sauber Holdings.

Rentetan daripada itu, PETRONAS menjadi rakan kongsi kepada pasukan Mercedes Formula One selepas menandatangani perjanjian lima tahun dengan pengeluar utama automotif Mercedes pada 2009.

Namun, pasukan itu mengubah namanya kepada MERCEDES AMG PETRONAS pada 2010.

Sehingga kini, percaturan PETRONAS dalam dunia permotoran F1 amat memberangsangkan apabila pemandu bagi pasukan MERCEDES AMG PETRONAS muncul juara dan naib juara melalui Lewis Hamilton dan Nico Rosberg.

Justeru, bagi memperingati dan meraikan pembabitan PETRONAS selama 20 tahun dalam dunia sukan permotoran, satu pameran diadakan di Galeri PETRONAS.

Pameran ‘The Adrenaline’ adalah gabungan seni dan kelajuan yang menggambarkan unsur-unsur visual acara permotoran berprestij dunia ini bagi menyampaikan pengalaman F1 yang luar biasa.

The Adrenaline mencerminkan pertumbuhan dan pencapaian nilai tambah signifikan PETRONAS dalam acara sukan bermotor menerusi sorotan sejarah dan paparan seni visual merangkumi lukisan dan kerja seni dengan butiran terperinci.

Menurut kuratornya, Azzad Diah Ahmad Zabidi, ia adalah refleksi terhadap sukan permotoran itu yang membabitkan manusia dan mesin, bagaimana manusia mencabar kemampuan diri melangkaui keupayaan sedia ada.

“Pameran ini menjemput tiga artis daripada berlainan latar belakang iaitu Azad Daniel, Hasnee Rahman dan Fairul Izwan.

“Mereka melahirkan pelbagai pendekatan kerja seni untuk mengungkap rantaian dan kisah dunia permotoran F1.

“Hasnee Rahman memang cenderung dalam dunia sukan dan dia memperlihatkan empat siri karya menerusi tajuk ‘Winning Formula Series: Heat’.

“Walaupun lukisan itu berbentuk dua dimensi, kesan akrilik terhadap permukaan rata itu menampakkan adunan warna dan strok MERCEDES AMG PETRONAS dalam pelbagai sudut kenderaan dan laluan Litar Antarabangsa Sepang.

“Warna itu melambangkan pelbagai perkara sama ada dari segi emosi pemandu, teknikal, emosi penonton dan persaingan sekali gus memperlihatkan kekuatan manusia lebih berbanding teknologi,” katanya.

Azad Daniel menggunakan bahan-bahan industri ke atas karya bersesuaian dengan perlumbaan F1 dari sudut luaran yang memiliki banyak kemasan.

Justeru, kerja seni Azad adalah reflek kepada kualiti F1 selain menyelami pembangunan dan teknologi PETRONAS sehingga menghasilkan produk minyak PETRONAS Syntium dan Primax.

“Azad Daniel menghasilkan dua karya menerusi ‘The Winning Formula: Blood Life’ sewaktu Nico Rosberg dan Lewis Hamilton dijemput ke galeri PETRONAS,” katanya.

Fairul Izwan dikenali dalam bidang seni bina dan karyanya, ‘In Motion’, simbolik dengan pergerakan dan kelajuan menerusi paparan visual aerodinamik.

“Instalasi gear yang digunakan pada kereta F1 sebenar ini mempunyai fungsi apabila setiap satu peralatan itu dicantumkan.

“Ia melambangkan komuniti dan individualiti kerana F1 adalah sukan permotoran berpasukan, justeru wujud mesej kemanusiaan,” katanya.

Bagi peminat sukan perlumbaan F1, mereka masih berpeluang menyaksikan pameran The Adrenaline sehingga pertengahan bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 12:46 PM