ROSBERG kumpul 385 mata untuk muncul juara F1 dunia.
ROSBERG kumpul 385 mata untuk muncul juara F1 dunia.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Nico Rosberg (gambar) yang baru dinobat selaku juara Formula Satu (F1) dunia akan menjejakkan kaki ke ibu negara hari ini untuk sesi pertemuan bersama media serta kakitangan PETRONAS.

Sensasi Jerman dari pasukan Mercedes AMG PETRONAS itu baharu saja memastikan kejuaraan dunia selepas berakhirnya perlumbaan terakhir musim di Abu Dhabi, kelmarin.

Meskipun sekadar menduduki tempat kedua di belakang rakan sepasukan, Lewis Hamilton, ia sudah mencukupi untuk Rosberg memenangi kejuaraan dunia dengan meraih 385 mata, hanya berkelebihan lima mata berbanding Hamilton.

Selain memenangi kejuaraan pemandu, Rosberg juga membantu pasukan untuk memenangi kejuaraan pengeluar buat kali ketiga berturut-turut.

Rosberg dijangka akan menceritakan kejayaan terbarunya itu selepas melalui detik kekecewaan selama dua musim sebelum ini apabila tewas di tangan Hamilton.

Turut mengiringi Rosberg pada sesi pertemuan berkenaan adalah Ketua Permotoran Mercedez-Benz, Toto Wolff yang juga dijangka berkongsi kejayaan kerjasama membabitkan Mercedes dan PETRONAS.

Rosberg kemudian akan mengadakan pertemuan tertutup dengan kakitangan PETRONAS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 8:14 AM