SEORANG budak yang cedera dibawa ke hospital menaiki helikopter.
SEORANG budak yang cedera dibawa ke hospital menaiki helikopter.

Kathmandu: Pendaki yang terkandas akibat runtuhan salji di Nepal - kebanyakannya warga Israel - terpaksa bertarung mendapatkan makanan dan ruang dalam helikopter penyelamat selepas penduduk tempatan enggan memberikan perlindungan ekoran kejadian gempa bumi Sabtu lalu yang mengorbankan lebih 5000 orang.

Lebih 250 dikhuatiri hilang selepas runtuhan salji melanda kampung Langtang di utara ibu negara Kathmandu kelmarin. Bagaimanapun, tiada kematian atau kecederaan serius disahkan.

Ratusan pendaki terkandas selepas laluan dan jalan pulang tersekat menyebabkan mereka kelaparan dan kesejukkan. Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud itu turut memusnahkan beberapa rumah peranginan.

Pendaki Lily Milkovich berkata: “Bongkah ais yang besar tiba-tiba menghempap khemah ketika kami duduk di dalamnya.

“Beberapa rakan tertimbus dibawah salji dan kami membantu mereka keluar sebaik merasa keadaan cukup selamat”.

Menurutnya, berlaku kekecohan ketika mahu menaiki helikopter, namun ketegangan itu segera diredakan selepas pasukan penyelamat memberitahu akan membuat penerbangan berulang kali bagi membawa mereka keluar dengan selamat.

Seorang penyelamat menyifatkan situasi di Langtang sebagai ‘tegang’ berikutan pergaduhan untuk makanan antara pendaki dan penduduk kampung.

“Penduduk kampung menganggap kami mengambil terlalu banyak makanan,” kata Amit Rubin yang berpangkalan di lapangan terbang Kathmandu bersama pasukan mencari dan menyelamat Magnus Antarabangsa.

Sementara itu, Gabenor Daerah Uddhav Bhattarai yang mengarahkan operasi menyelamat memberitahu 100 orang sudah diterbangkan keluar awal pagi semalam, manakala 125 lagi dalam perjalanan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 10:27 AM