PENDUDUK bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan.
PENDUDUK bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan.
ORANG ramai cuba mengeluarkan seorang lelaki yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di Kathmandu.
ORANG ramai cuba mengeluarkan seorang lelaki yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di Kathmandu.
AP

Kathmandu, Nepal: Beratus-ratus penduduk maut dan beribu-ribu lagi cedera selepas satu gempa bumi kuat berukuran 7.9 magnitud menggegarkan bandar ini semalam.

Gempa bumi yang melanda pada jam 11.56 pagi (waktu tempatan itu) turut dirasai di beberapa negara jiran termasuk China, Pakistan, Bangladesh dan India.

Kejadian itu menyebabkan berpuluh-puluh bangunan runtuh dan beratus-ratus rumah musnah termasuk binaan purba di Kota Kathmandu Lama.

Pusat gempa dikesan pada kedalam 11 kilometer, kira-kira 80 kilometer dari barat laut Kathmandu.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan memberitahu, lebih 500 orang terbunuh dalam bencana itu, tetapi angka korban dijangka terus meningkat ketika usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Gempa bumi itu turut menyebabkan kematian di beberapa negara jiran.

Seramai 20 orang dilaporkan maut di India manakala dua kematian dicatatkan di Bangladesh dan enam di Tibet dan seorang di China.

Kementerian Pelancongan Nepal memberitahu, sekurangnya lapan pendaki terbunuh apabila gempa bumi itu mencetuskan salji runtuh di Gunung Everest.

Seorang penduduk, Pushpa Das berkata, dia cuba berlari keluar dari rumah ketika kediamannya bergegar, tetapi gagal menyelamatkan diri apabila dihempap runtuhan dinding.

“Keadaan ketika itu sangat menakutkan. Saya terjatuh ketika berlari kerana bumi bergoyang dengan kuat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Prachanda Sual memberitahu beberapa bangunan runtuh di kota Kathmandu Lama termasuk kuil purba dan menara.

“Semua bangunan runtuh dalam tempoh beberapa saat gegaran berlaku,” katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:01 AM