GAMBAR yang dirakam kelmarin menunjukkan pasukan penyelamat mengangkat mayat yang ditemui di Kampung Langtang.
GAMBAR yang dirakam kelmarin menunjukkan pasukan penyelamat mengangkat mayat yang ditemui di Kampung Langtang.
Agensi

Kathmandu: Pasukan penyelamat semalam menggali ribuan tan tanah di sepanjang laluan popular pendaki di Himalaya dalam usaha mencari mayat yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh selepas kejadian gempa bumi melanda Nepal 25 April lalu.

Pihak berkuasa percaya masih terdapat mayat di bawah runtuhan tanah itu selepas seluruh kampung di kawasan berkenaan tertimbus.

Setakat ini 60 mayat ditemui di Lembah Lantang, sejak gempa bumi dan tanah runtuh 25 April lalu,

Sembilan daripada mayat yang ditemui adalah pendaki warga asing, kata Gautam Rimal, pegawai kanan kerajaan di daerah Rasuwa.

Penduduk kampung berkata, seramai 200 orang mungkin mati di kawasan itu.

Lembah itu dan kampung Langtang terletak kira-kira 60 kilometer ke utara Kathmandu. Ia hentian popular untuk pendaki kerana mempunyai pemandangan Himalaya yang menakjubkan.

“Seluruh kampung musnah dalam kejadian tanah runtuh itu. Terdapat kira-kira 60 rumah di situ, semuanya tertimbus. Amat mustahil untuk menemui semua mayat,” kata Rimal.

Perjalanan ke kampung itu dari bandar terdekat kini mengambil masa dua hari kerana hubungan jalan raya terputus akibat ditimbus tanah runtuh.

Walaupun ia boleh dijejaki dengan helikopter, bilangan pesawat itu tidak mencukupi kerana digunakan dalam misi bantuan di kawasan lain.

Angka kematian akibat gempa paling buruk di Nepal dalam tempoh lebih 80 tahun sudah menjangkau lebih 7,500.

Sementara itu, di Kathmandu, pihak berkuasa berkata, sepertiga penduduk meninggalkan bandar itu sejak gempa bumi itu.

Pada beberapa hari pertama selepas kejadian, stesen bas sesak dengan orang ramai yang ingin keluar dari bandar berkenaan kerana bimbang dengan gempa susulan atau cuba pulang ke kampung asal masing-masing untuk mengetahui nasib anggota keluarga.

Pihak berkuasa tidak dapat memastikan jumlah mereka yang sudah kembali ke ibu negara itu.

Bagaimanapun, semalam, orang ramai masih kelihatan menunggu bas untuk meninggalkan bandar itu.

Polis Kathmandu berkata, hampir 900,000 penduduk meninggalkan bandar itu dalam tempoh 10 hari lalu.

Jumlah penduduk di lembah Kathmandu, yang merangkumi bandaraya Kathmandu dan bandar Lalitpur dan Bhaktapur ialah 2.5 juta.

Keadaan semakin kembali normal di ibu negara Nepal itu tetapi sekolah masih ditutup sehingga 14 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:05 AM