Kathmandu: Empat termasuk seorang warga emas berusia 101 tahun ditemui dalam keadaan selamat di celah runtuhan rumah mereka, lapan hari selepas gempa bumi melanda Nepal.

Funchu Tamang diselamatkan lewat Sabtu dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

Tiga sekeluarga juga ditemui selamat di rumah mereka di Sindhupalchowk, di barat laut Kathmandu, semalam. Lokasi itu antara yang paling teruk terjejas.

Sementara itu, polis menemui lebih 50 mayat termasuk enam warga asing di Langtang yang popular sebagai kawasan mendaki.

Seramai 100 pelancong asing masih hilang ekoran gempa bumi berukuran 7.8 magnitud 25 April lalu yang sudah meragut lebih 7,000 nyawa.

Jumlah kematian yang direkodkan dijangka bertambah malah dipercayai sebuah perkampungan musnah dihanyutkan runtuhan salji akibat bencana itu.

Menurut ketua pegawai daerah Rasuwa, Uddav Prasad Bhattarai semalam, semua mayat ditemui di tempat yang berbeza termasuk yang tertimbus di bawah runtuhan sejak beberapa hari lalu.

“Keutamaan kami adalah untuk mengeluarkan mangsa yang terselamat.

“Kami sudah menyelamatkan 350 orang, separuh daripada mereka terdiri daripada pelancong dan jurupandu.

“Kami percaya sudah jumpa kebanyakan mangsa yang terselamat dan kini sedang berusaha untuk membawa turun mayat pula,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 8:21 AM