Sukarelawan berlari membawa pengusung selepas dimaklumkan ada mayat ditemui di Kathmandu. FOTO AP
Sukarelawan berlari membawa pengusung selepas dimaklumkan ada mayat ditemui di Kathmandu. FOTO AP

Kathmandu (Nepal): Angka korban gempa bumi di sebahagian besar Nepal dan beberapa tempat di India, Bangladesh, China dan Pakistan semalam terus meningkat dengan sekurang-kurangnya 1,180 orang terkorban.

Nepal mencatat korban tertinggi dengan sekurang-kurangnya 1,130 orang terkorban.

Bagaimanapun, Ketua Polis Nepal, Komal Singh Bam percaya angka korban akan terus meningkat.

Seramai 34 orang dilaporkan terkorban di India, Tibet (12), Bangladesh (dua) dan dua lagi adalah warga China di sempadan Nepal-China.

Gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter disifatkan paling dahsyat di Nepal sejak 80 tahun itu melanda pada jam 11.56 pagi (waktu tempatan ) dengan turut dirasai di beberapa negara jiran berkenaan

Ahli perniagaan, Shrish Vadya yang ketika kejadian bersama ahli keluarga di rumah mereka di pinggir bandar Kathmandu berkata sukar untuk dia menggambarkan bencana itu.

“Rumah bergegar dengan teruk. Kami berlari keluar dan melihat jalan raya beralun ke atas dan ke bawah.

“Saya tidak pernah berdepan pengalaman mengerikan seperti ini,” katanya.

Bencana itu bukan sekali kerana ia berulang sejam selepas gempa bumi pertama.

Gempa bumi kedua berukuran 6.6 skala Richter dan selepas itu berlaku sekurang-kurangnya 16 gegaran selama beberapa jam.

Bagi penduduk Kampung Manglung, Vim Tamang, dia melihat kampungnya hampir musnah.

“Kebanyakan rumah runtuh dan ditimbus tanah serta rosak akibat gegaran.

“Sebahagian penduduk kampung ada yang hilang dan mati. Penduduk yang terselamat berkumpul di tempat lapang. Kami amat memerlukan bantuan,” katanya yang dihubungi menerusi telefon.

Perdana Menteri Nepal Sushil Koirala yang berada di Jakarta kerana menghadiri satu persidangan ketika bencana berlaku segera berangkat pulang, namun terkandas di Bangkok apabila penerbangan ke Kathmandu dibatalkan berikutan lapangan terbang ditutup.

Seorang penunjuk arah pendaki gunung, Ang Tshering memaklumkan bahawa runtuhan salji di Gunung Everest akibat bencana itu mengorbankan lapan pendaki dan 30 lagi cedera, namun warganegara semua yang terbabit belum dikenal pasti. AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 3:15 AM