WINGS bersama DVD Konsert Rockestra Wings 2013.
WINGS bersama DVD Konsert Rockestra Wings 2013.

Dalam keadaan industri muzik tempatan dikatakan semakin suram, Wings dilihat masih lagi relevan khususnya dalam kalangan peminat muzik rock.

Mereka masih menjadi ‘crowd puller’ sekiranya tampil dalam mana-mana konsert. Malah, peminat tidak lokek membeli tiket agak mahal semata-mata untuk menyaksikan konsert Wings.

Ini dibuktikan dalam konsert Rockestra Wings 2013 di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 26, 27 dan 28 April 2013 lalu yang mendapat sambutan hangat. Sejak tampil dengan album sulung Belenggu Irama pada 1987, hingga hari ini Wings jarang mengecewakan peminat dalam setiap konsert mereka baik di pentas funfair hinggalah ke arena berprestij seperti Istana Budaya.

Konsert Rockestra Wings 2013 yang diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan yang turut dirakamkan kini dihasilkan dalam format DVD dan CD.

Dalam konsert berkenaan Wings mempersembahkan 20 lagu dan semuanya boleh ditonton semula dalam DVD, namun dalam format CD hanya 16 lagu dimuatkan.

Berbanding album live sebelum ini seperti Teori Domino Revisited pada 2007, Alive 2006 The Legend Arises (2007) dan Wings - Live At Planet Hollywood (2008), tidak dinafikan album ini lebih berkualiti dan bersih.

Namun, bagi yang hadir ke konsert terbabit pasti agak kecewa dengan penghasilan album ini kerana proses suntingan yang agak ketara.

Antaranya celoteh Awie sebelum dan selepas sesuatu lagu dipersembahkan dibuang sedangkan ia antara kekuatan konsert berkenaan.

Jenaka Awie membuatkan pentas Istana Budaya gemuruh dengan tawa penonton, tetapi ia sudah disunting.

Apapun, penerbit mempunyai alasan kerana jika tidak disunting, ia pasti memanjangkan durasi album ini.

Namun, bagi yang tidak sempat hadir ke konsert berkenaan, album ini masih berbaloi untuk anda miliki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 10:21 AM