Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Patriotik dan berdakwah cara Wings. Inilah yang diperlihatkan menerusi Konsert Ta’kan Melayu Hilang Di Dunia yang membuka pentas di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 10 sehingga 16 Jun ini.

Persembahan daripada slot Bongkar (Alif-Agama, Ba-Bangsa, Ta-Tanahair, Kaf- Keluarga) ini mantap, padu dan bertenaga hasil kombinasi muzik terkini sentuhan Wings bersama 25 pemuzik daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) yang dipimpin Mohd Yazid Zakaria.

Hampir dua setengah jam, peminat tidak berganjak daripada kerusi masing-masing kerana terpukau dengan persembahan berbeza Awie, Joe, Black dan Eddie.

Tiada lagi unsur klise yang ditampilkan kerana persembahan mereka dijana sepenuhnya bersama bunyi-bunyian indah serunai, kompang, gamelan, gong dan pelbagai peralatan muzik tradisi lain.

Menepati tema konsert ini, barisan pesilat daripada Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia tampil menunjukkan kehebatan orang Melayu, sesuai dengan pepatah Ta’kan Melayu Hilang Di Dunia.

Seperti kejayaan yang diraih menerusi Konsert Opera Hidup Wings dan Konsert Wings Rockestra 2013, konsert ini pasti mendapat sambutan kerana peminat sememangnya dahagakan persembahan berbeza daripada kumpulan yang sudah menjangkau usia 30 tahun itu.

Tirai konsert dibuka dengan kemunculan ‘Memanda’ Aidil Abdul Ghafar yang menyampaikan monolog berkenaan Melayu disusuli petikan gitar solo Joe yang bersaing sengit dengan tiupan serunai pemuzik OTM, Muhammad Dahari Che Seman.

Pentas semakin hangat dengan kemunculan Awie menyampaikan lagu Hukum Karma dan Bazooka Penaka. Mengotakan janjinya, Awie kemudian bermonolog dan selepas itu menyambung kembali persembahan dengan mengalunkan lagu Sayap Ilusi, Sembunyi dan Ranggi Metropolis.

Tiada langsung ucapan atau kata-kata daripada Awie kerana matlamatnya mahu menghiburkan peminat semaksimum mungkin malah tampak cukup bertenaga sepanjang persembahan.

Menerusi segmen kedua, Joe bermonolog dan Awie me­nyampaikan lagu Tanjung Puteri dan Inspirasi Taming Sari yang menerima tepukan bergemuruh peminat.

Seterusnya giliran Black pula bermonolog dan konsert kemudian dihiasi lagu berunsur ketuhanan iaitu Asmaul Husna, Anugerah, Selawat dan Dari Tuhan.

Eddie anggota terakhir menyampaikan monolog sebelum Awie kembali ke pentas menghiburkan penonton dengan lagu Ibu, medley istimewa, Sejati dan Opera Hidup.

Semasa persembahannya, Awie tidak ketinggalan menunjukkan kehebatan bersilat di atas pentas. Semua anggota Wings turut menerima anugerah Sandang Penasihat Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia (PSSPGM) yang disampaikan Penaung Kehormatnya Datuk Raja Abdul Majid Raja Mat Isa.

Misi berjaya

Awie yang ditemui selepas konsert menzahirkan perasaan gembira dan bersyukur apabila persembahan berjalan lancar biarpun dirancang dalam masa yang singkat.

“Konsert ini dirancang ketika kami menjayakan Konsert Menakluk Kosmos Disember lalu. Dalam masa singkat Wings mengadakan perbincangan dengan IB dan kemudian berjumpa Mohd Yazid dari OTM untuk merealisasikan impian ini.

“Ta’kan Melayu Hilang Di Dunia berkisarkan penyatuan Melayu. Ia disampaikan menerusi monolog serta persembahan kami. Saya hanya berlatih silat dalam masa satu hari untuk segmen yang ditampilkan.

“Pujian harus diberikan kepada Pusaka Gayung Malaysia kerana memberikan persembahan terbaik. Terima kasih kerana ajar teknik pertempuran dan ia bukan mudah,” katanya.

Menurutnya, cabaran paling besar menjayakan konsert ini adalah menyampaikan lagu keagamaan.

Insan kerdil seperti kami sering dipandang negatif ma­syarakat. Kalau ikutkan daripada album pertama iaitu Belenggu Irama kami sudah ada lagu berunsur agama iaitu Dari Tuhan. Itulah dakwah daripada kami.

“Aspek pemilihan lagu pula memang susah kerana masa yang ada sangat suntuk. Kalaulah ada masa lebih panjang, kami pasti boleh pilih lagu yang lebih baik. Senarai lagu yang dinyanyikan pun sudah buat saya pening.

“Apapun saya bersyukur pilihan lagu kami tepat dan kena dengan segmen yang ditampilkan,” katanya.

Joe pula selaku pengarah muzik berkata cabaran yang dihadapinya adalah memastikan keharmonian gabungan muzik moden dan tradisi.

“Paling mencabar segmen bangsa dan agama. Itu kehendak Awie sendiri. Bukan mudah untuk direalisasikan, tetapi apabila berjaya, segala penat lelah rasa berbaloi,” katanya.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani pula memuji Wings kerana berani menyahut cabaran mementaskan persembahan dalam tempoh masa yang singkat.

“Perbincangan untuk konsert ini dibuat di sebuah hotel pada tahun lepas. Asalnya ia mahu dipentaskan dalam bentuk muzikal Bongkar yang memaparkan mereka sebagai mat rock. Konsepnya lebih kurang sama dengan Konsert Teaterikal Suara Kita. Ideanya dicetuskan oleh Erma Fatima.

“Namun disebabkan Erma tidak boleh turut serta dalam projek ini maka Awie memilih konsep yang dipersembakan sekarang. Alhamdulillah de­ngan slot Bongkar ini, IB sudah mencapai KPI untuk enam bulan pertama tahun 2015,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 3:59 PM