PERINCIAN sederhana pada tangan, dada dan sisi baju menyerlahkan penampilan mempelai.
PERINCIAN sederhana pada tangan, dada dan sisi baju menyerlahkan penampilan mempelai.
MENGGUNAKAN rona asas putih dan krim menonjolkan perincian busana.
MENGGUNAKAN rona asas putih dan krim menonjolkan perincian busana.
POTONGAN duyung menggunakan fabrik sifon dan renda menambah seri ratu sehari.
POTONGAN duyung menggunakan fabrik sifon dan renda menambah seri ratu sehari.
MENAWAN gaya klasik songket berpotongan kebaya dengan perhiasan di kepala untuk tema tradisional.
MENAWAN gaya klasik songket berpotongan kebaya dengan perhiasan di kepala untuk tema tradisional.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Setiap kali melihat persalinan anggun mempelai selain daripada potongan yang kena dengan tubuh si pemakai, pemilihan warna pada fabrik dan perincian manik adalah dua perkara yang cukup penting bagi memastikan penampilan raja sehari ini sempurna terutama ketika majlis persandingan.

Pada hari bahagia pengantin tentunya inginkan penampilan anggun dan menawan melalui solekan serta persalinan. Tanpa mengira bentuk tubuh atau ketinggian potongan pakaian haruslah menyembunyikan kekurangan mempelai khususnya wanita begitu juga dengan warna digunakan.

Menurut perunding majlis perkahwinan yang juga pemilik Zaifie Zainal Creation Kuala Lumpur (ZZCKL), Zaifinidza Zainal Abidin, pemilihan potongan busana memainkan peranan penting yang bukan saja menyerlahkan keanggunan wanita tetapi menutup kekurangan si pemakai.

Pakaian yang membuatkan wanita selesa tentunya akan meningkatkan keyakinan diri sekali gus menjadikan mereka lebih bergaya ketika bersanding.

“Memang sejak dulu saya gemar menghasilkan potongan berunsur klasik, tidak terlalu moden atau nampak tradisional. Ini kerana perkahwinan akan menjadi memori indah sehingga ke akhir hayat. Oleh itu potongan yang kekal sepanjang zaman akan sentiasa dikenang malah menjadi ikutan rakan atau saudara-mara,” katanya.

Melihat busana yang ditampilkan Zaifinidza atau mesra disapa Zaifie, dia mengakui mempunyai tema atau kriteria tersendiri tatkala membuat lakaran. Pakaian yang dihasilkan harus menggunakan satu warna atau menggabungkan daripada warna asas seperti coklat, kelabu, putih atau krim. Ini termasuk penggunaan perincian manik atau batu permata.

Jelasnya biarpun mempelai inginkan diri mereka menjadi tumpuan namun gabungan rona terang misalnya biru dan merah jambu atau hijau dan kuning akan menenggelamkan daya tarikan pasangan.

“Untuk tampil sederhana saya menggunakan warna asas seperti krim, putih, coklat atau kelabu. Jika ingin menambah perincian manik saya menggunakan rona yang sama. Begitu juga untuk busana berwarna terang seperti hijau zamrud, biru kelasi atau hijau pudina saya turut mengelak menggunakan dua gabungan warna kerana ia akan menyebabkan mempelai hilang serinya,” jelasnya yang membuka butik di rumahnya di Cheras, Kuala Lumpur.

Berpengalaman menghasilkan rekaan sejak 2001, ujar ibu kepada dua cahaya mata ini turut memberi penekanan kepada potongan yang mengambil kira bentuk tubuh mempelai. Bukan semua wanita sesuai mengenakan gaun berpotongan A atau piramid begitu juga dengan busana berpotongan kebaya yang tidak sesuai dipakai mereka yang bertubuh gempal.

“Pada masa sekarang kebanyakan gaun pengantin berpotongan duyung dan puteri kerana kedua-duanya sesuai digayakan mempelai bertubuh langsing dan berbadan besar. Potongan sebegini juga mampu menutup kekurangan tubuh pada bahagian bawah terutama pinggul dan paha,” katanya.

Menurut Zaifie, bakal pengantin perlu bijak memilih fabrik untuk setiap busana yang diinginkan. Ini kerana fabrik berkualiti akan membuatkan padanan terletak cantik pada tubuh wanita.

Malah pereka tidak perlu meletakkan perincian berlebihan sama ada menggunakan manik atau batu berkilau kerana keindahan pada fabrik sudah terserlah. Antara yang menjadi kesukaannya disebabkan kualiti dan mesra rekaan adalah renda, renda prada, sifon, songket, satin duchess dan satin bridal.

Selain menyediakan perkhidmatan sewa baju pengantin, untuk mereka yang inginkan rekaan terkini turut boleh melakukannya. Harga ditawarkan adalah dari RM700 untuk lelaki dan wanita termasuk perhiasan manakala tempahan baru berharga RM2,500. Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sosial Facebook Zaifie Zainal Creation atau Instagram @zaifiezainalcreationkl dan @makeupbyzaifiezainal.

Tudung sesuai bentuk muka

Bagi mempelai Muslimah, selain busana pemilihan tudung amat dititikberatkan supaya penampilan akan lebih menyerlah pada hari bahagia.

Berikut adalah beberapa panduan pemilihan tudung bersesuaian bentuk muka agar gaya anda menjadi lebih menawan dan manis dipandang.

- Pilih tudung labuh menutupi dada, tidak jarang, longgar dan tidak menampakkan bentuk telinga, tersembunyi dan menyelaputi bahu dan juga tidak melekat di badan. Untuk itu pemilihan reka bentuk dan jenis kain tudung amat penting.

- Pilih anak tudung mempunyai sengkuap kerana senang dibentuk dan boleh menutup kekurangan bentuk muka sama ada bulat atau bersegi. Pastikan kain yang di gunakan mudah dibentuk dan meregang seperti korduroi atau lycra.

- Pilih warna lembut seperti biru, jingga, hijau, ungu, merah jambu dan kelabu. Pastikan warna yang dipilih tidak terlalu terang.

- Pilihan fabrik terbaik untuk tudung ialah fabrik lembut yang tidak berkilat. Ini kerana wanita bertudung harus sentiasa berpegang kepada prinsip berpakaian sopan dan patuh syariah, tidak terlalu menonjol.

- Elakkan memilih kain satin kerana ia berkilat dan panas, membuatkan anda kurang selesa untuk memakainya dalam tempoh yang panjang. Malah kebanyakan kain satin melekat di badan.

- Fabrik paling sesuai untuk tudung adalah sifon, georget, cita, sari dan renda. Ia kurang berkilat dan lembut. Lycra dan kapas kurang sesuai kerana ia kain bersifat ‘lasak’ dan kurang menonjol.

- Sesuai memilih baju dan tudung sedondon kerana ia memperlihatkan keanggunan dan kelembutan bakal pengantin.

- Untuk majlis akad nikah, warna lembut seperti krim atau putih adalah pilihan terbaik.

- Sekiranya layah yang digayakan sarat dengan hiasan jemeki atau batu permata, mini telekung atau tudung yang dipakai mestilah ringkas, polos dan tidak perlu ada hiasan.

- Hiasan di layah juga seharusnya tidak terlalu sarat kerana ia akan membuatkan bahagian kepala dan wajah anda nampak serabut.

- Jika anda ingin menghias layah dengan renda, pastikan memilih renda yang berbunga kecil. Elakkan memilih renda berbunga besar kerana ia membuatkan bentuk wajah anda tidak seimbang.

- Gaya tudung juga mengikut kesesuaian bentuk muka dan warna kulit pengantin. Warna pilihan untuk majlis persandingan ialah kelabu, biru gelap, coklat, hijau lumut, hijau pucuk pisang, ungu, merah dan hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:08 AM