SONGKET dengan perincian mewah pada bahagian baju dan kain memberikan gaya glamor dan anggun.
SONGKET dengan perincian mewah pada bahagian baju dan kain memberikan gaya glamor dan anggun.
POTONGAN kebaya memberikan gaya klasik kepada mempelai.
POTONGAN kebaya memberikan gaya klasik kepada mempelai.
POTONGAN peplum sesuai untuk wanita langsing atau berbadan comel.
POTONGAN peplum sesuai untuk wanita langsing atau berbadan comel.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Fesyen berubah mengikut peredaran masa. Apa yang digayakan kini tidak mustahil akan kembali popular pada masa akan datang. Busana songket misalnya tidak lapuk ditelan zaman dan rekaannya sentiasa segar di hati peminat fabrik tradisional walaupun pelbagai fabrik moden datang dan pergi.

Jika dulu busana berasaskan songket lebih ‘dekat’ dengan rekaan kebaya, tetapi kini pereka semakin bijak menghasilkan potongan sesuai dengan persekitaran dan cita rasa semasa.

Bagi pemilik Wiwin Touch Bridal, Ezriawiwin, inspirasi membuka perniagaan berasaskan busana pengantin bermula apabila melihat kejayaan pereka terkenal tanah air seperti Datuk Radzuan Radzwill, Salikin Sidek dan Man Kajang dalam menghasilkan pakaian yang hebat dan menyerlah. Dari situ dia memulakan langkah pertama dengan menghasilkan busana untuk mempelai.

“Alhamdulillah ramai pelanggan memberikan maklum balas positif lantas saya terus menghasilkan rekaan yang diminati pelanggan sesuai dengan penampilan mereka,” katanya yang membuka butik di Bangunan Peringgit Point Melaka.

Menurut Ezria, walaupun rekaan songket kini kembali dan mendapat perhatian, dari segi rekaan, Ezria tidak memberi tumpuan kepada gaya lama sebaliknya memberikan sentuhan baru dengan tambahan fabrik sifon pada potongan gaun yang akan menampakkan busana lebih mewah dan versatil.

Oleh kerana fabriknya sedikit tebal, baju dihasilkan mengikut bentuk badan dengan potongan duyung dan peplum yang menampakkan gaya moden.

“Malah, semua mempelai sesuai memakai songket pada hari bahagia mereka dan tidak menjurus kepada wanita berbadan kecil dan langsing saja. Untuk mempelai comel, rekaan dengan potongan peplum pilihan yang baik kerana akan menampakkan mereka lebih tinggi,” katanya yang gemar menggunakan rona lembut seperti krim, merah jambu putih susu dan rona gelap seperti hijau zamrud, hitam dan coklat.

Warna terang juga sesuai digayakan namun bergantung kepada penampilan dan konsep yang dipilih mempelai.

Selain rekaan berasaskan songket, Wiwin Touch Bridal turut menyediakan padanan daripada fabrik renda soltiss, organza, net tulle, sutera tafeta, satin dutchess dan sutera Thai dengan potongan lebih memikat dan moden. Kebanyakan busana berpotongan duyung lebih digemari kerana ia menampakkan mempelai lebih langsing dan anggun terutama apabila bersanding di pelamin nan indah.

Selain busana, Ezria turut menyediakan perkhidmatan solekan, gubahan hantaran dan rekaan pelamin mengikut konsep mempelai. Harga sewa untuk baju antara RM800 ke atas atau boleh juga dihasilkan mengikut cita rasa sendiri pada harga berbeza. Untuk maklumat lanjut boleh layari Facebook wiwintouch bridal atau Instagram wiwintouch.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 1:51 AM