Siti Zarinah Sahib


Bagi yang ingin melangsungkan perkahwinan pasti tercari-cari busana yang akan digayakan menjelang hari bahagia nanti. Walaupun pemilihan berdasarkan tema atau konsep majlis, ia perlu mengambil kira beberapa faktor seperti bentuk badan, warna kulit dan ketinggian.

“Ciri-ciri ini yang sering dilupakan bakal mempelai disebabkan teruja untuk menggayakan busana mengikut warna tema pilihan.

“Sebab itu pentingnya merujuk kepada perunding perkahwinan yang mampu memberikan nasihat seterusnya panduan mengenai pemilihan gaun untuk mereka,” demikian menurut pengasas Farid Ibrahim Weddings, Mohd Farid Ibrahim.

Menyediakan gaun berasaskan material renda jelas Farid, pada tahun ini perkahwinan berkonsepkan glamor bakal menjadi pilihan. Bagi memenuhi keperluan pelanggan dia menyediakan gaun yang diperbuat daripada fabrik renda Perancis sebagai memenuhi tema ini.

“Fabrik renda dengan sedikit perincian sudah memadai, tidak perlu sarat. Ini kerana ringkas dan sederhana akan menampakkan mempelai lebih anggun dan menyerlah,” katanya.

GAUN pastel menggunakan material renda Perancis sesuai untuk acara dalam dewan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
GAUN pastel menggunakan material renda Perancis sesuai untuk acara dalam dewan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Masih mengekalkan rona pastel untuk kelihatan mewah, pada tahun ini dia bakal menghasilkan gaun berwarna terang seperti biru diraja dan biru ungu yang akan menampakkan sisi berbeza ketika bersanding di singgahsana.

Menampakkan kilauan dan cetusan unsur glamor ini Farid menambah perincian Swarovski pada fabrik selain manik dan batu permata yang mampu memberikan daya penarik kepada raja sehari.

“Saya turut menggunakan renda berkilau Vietnam terutama bagi pengantin yang berani menggayakannya. Cuma fabrik ini sesuai untuk acara dalam dewan yang memberikan keyakinan kepada pasangan untuk tampil mewah dan bersahaja,” katanya.

Jelas Farid, kebiasaannya persetujuan untuk memilih busana bermula daripada perbincangan yang membabitkan pemerhatian bentuk tubuh dan warna kulit mempelai. Selepas dipersetujui pelanggan barulah material dipilih.

“Biasanya saya memberi kebebasan kepada pasangan memilih fabrik pilihan mereka. Selepas dipersetujui bersama barulah ukuran dibuat mengikut potongan sesuai tubuh mereka. Jahitan mengambil masa seminggu dan tambahan kemasan perincian pula dalam dua minggu,” ujarnya.

Menyediakan potongan kembang ala puteri atau peplum dengan tambahan kepak atau layah pada bahagian busana dua rekaan ini amat diminati serta menjadi pilihan pelanggan.

POTONGAN peplum sesuai untuk si kecil molek.
POTONGAN peplum sesuai untuk si kecil molek.

Namun mereka yang berbadan ‘comel’ tidak digalakkan memakai busana dengan potongan ala puteri atau peplum kerana akan menampakkan bentuk tubuh lebih besar.

“Kebiasaannya untuk pengantin ‘comel’ saya menggalakkan mereka memilih potongan kebaya atau gaun dengan jenis fabrik tidak melekat atau terlalu menonjol,” ujarnya yang beroperasi di Johor Bahru.

Selain menghasilkan busana baru, beliau turut menyediakan sewaan baju yang bermula pada harga RM1,000 sehingga RM1,500. Untuk tempahan pula di antara RM2,000 hingga RM3,500 termasuk layah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 1:12 PM