DIJAHIT dengan kemas menggunakan material terbaik.
DIJAHIT dengan kemas menggunakan material terbaik.
Siti Nadirah Hafidzin


Menjadi impian setiap bakal raja sehari untuk bergaya dengan rekaan busana pengantin yang membuatkan mereka tampil menawan dan berseri bak bidadari terutama pada hari persandingan.

Busana pengantin yang cantik bukan saja terletak pada keanggunan rekaan, malah ia membabitkan semua kriteria termasuklah kekemasan jahitan, pilihan rona bersesuaian, jenis potongan dan penambahan hiasan sama ada manik, batu berkilau atau renda.

Memulakan pembabitan dalam bidang fesyen khususnya busana pengantin, Ferlane Design mula bertapak dengan mengambil tempahan menjahit tudung pengantin sebelum melangkah ke hadapan dan menawarkan jahitan manik pada tudung serta busana pengantin berkonsepkan elemen moden dan tradisional.

Pengasas Ferlane Design, Ernee Suryanie Samsuri mengakui konsep moden dan tradisional menjadi pilihan pengantin kini kerana lebih mudah untuk disuai padan.

“Elemen utama yang diselitkan dalam koleksi kini adalah tekstur fabrik selain reka letak manik di atas tudung dan pakaian pengantin.

“Perincian seperti manik dan rekaan istimewa tertakluk kepada permintaan pelanggan. Pelanggan boleh menentukan rekaan dan jenis perincian mengikut kehendak mereka. Jadi setiap busana pengantin akan tampil berbeza mengikut cita rasa mempelai,” katanya.

Menurutnya, selain mencari ilham sendiri, perkongsian pendapat rakan terdekat juga banyak membantunya menghasilkan rekaan terbaik. Malah dia juga berusaha mengetengahkan konsep ‘custom made’ mengikut bajet pelanggan.

“Memahami kepelbagaian saiz pemakai, kami juga menyediakan khidmat jahitan mengikut saiz pilihan serta busana sedia dipakai yang didatangkan dalam pelbagai saiz sesuai untuk semua, tidak kira bagaimanapun bentuk badan mereka.

“Kami ingin pengantin berasa selesa apabila menggayakan pakaian indah pada hari bahagia mereka. Untuk tudung pengantin, kami juga menggunakan pelbagai jenis fabrik mengikut gred dan bajet pelanggan.

“Untuk tempahan pakaian pula, kami menggalakkan pelanggan membawa fabrik pilihan sendiri supaya lebih menepati keinginan dan cita rasa mereka,” ujarnya.

Tambah Ernee Suryanie, pelanggan masih boleh meminta khidmat nasihat daripada pereka Ferlane Design mengenai pemilihan kain yang sesuai.

“Bagi pemilihan warna, rona yang menjadi kegemaran ramai kini adalah warna lembut seperti putih susu, krim dan rangkaian warna pastel yang membuatkan pengantin tampak manis.

“Namun pelanggan bebas untuk membuat permintaan warna mengikut tema majlis yang dipilih,” katanya.

Harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan bermula dari RM69, tertakluk kepada rekaan dan jahitan manik.

Bagi yang ingin mendapatkan koleksi busana dan tudung pengantin Ferlane Design boleh mengunjungi butik di Pasir Gudang, Johor atau maklumat lanjut boleh didapati di laman Facebook Ferla Ne Design Shoppe serta Instagram @Ferlane_Design.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2016 @ 5:42 AM