Melaka: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan sebanyak 370,000 syarikat mendaftarkan perniagaan mereka sebaik sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula pada 1 April depan.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, sehingga kini 352,263 syarikat berdaftar dan dimasukkan ke sistem GST.

Katanya, walaupun tarikh pendaftaran berakhir 28 Februari lalu, ramai lagi pemilik syarikat yang ingkar untuk mendaftarkan peniagaan mereka.

“Bagi tempoh 14 hari yang tinggal sebelum cukai ini dilaksanakan, kita sasarkan sekitar 15,000 hingga 17,000 pendaftaran baru menerusi Ops GST yang sedang dijalankan ini.

“Sepanjang tempoh operasi berlangsung, JKDM akan menjejak mereka yang sepatutnya mendaftar, tapi enggan berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Kursus Asas Penguasa Kastam Gred W41, di Akademi Kastam Diraja Malaysia Melaka (AKMAL), di sini, semalam.

Khazali berkata, sejak operasi itu berjalan 1 Mac lalu, pihaknya berjaya mengesan 5,000 syarikat yang belum berdaftar, bagaimanapun nilai kompaun untuk semua syarikat berkenaan masih belum ditakrifkan.

Katanya, walaupun ada yang cuba memberi alasan perniagaan mereka tidak mencapai jumlah pendapatan RM500,000, JKDM mempunyai data mengenai pendapatan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:17 AM