JOHARI (berdiri kiri) melawat Pusat Pemerosesan GST.
JOHARI (berdiri kiri) melawat Pusat Pemerosesan GST.

Petaling Jaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) disaran mewujudkan jabatan khas bagi mengesan syarikat yang tidak berdaftar bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, jabatan khas itu boleh bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengesan syarikat yang belum berbuat demikian dengan Kastam.

“Dianggarkan sebanyak sejuta syarikat berdaftar dengan SSM, namun hanya 389,000 syarikat yang berdaftar dengan Kastam,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi pertama ke JKDM di Kelana Jaya, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad.

Beliau berkata, satu perbandingan data antara SSM dan JKDM perlu dibuat bagi mengesan status syarikat tidak berdaftar terbabit sama ada masih aktif atau sebaliknya.

“Ia akan menjadikan pangkalan data kerajaan berada di tahap terbaik. Dengan semua data syarikat ini, kita akan dapat maklumat tepat sekali gus memudahkan pemegang saham dalam dan luar negara untuk membuat keputusan pelaburan,” katanya.

Mengikut Akta GST 2014, kegagalan mendaftarkan syarikat secara sengaja boleh menyebabkan mereka didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan atau boleh dikenakan kompaun sehingga RM15,000. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 7:00 AM