Khazali  (enam dari kanan) bersalaman dengan  Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB Datuk Khairussaleh Ramli.
Khazali (enam dari kanan) bersalaman dengan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB Datuk Khairussaleh Ramli.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Kerajaan melantik tujuh bank bagi menjalinkan kerjasama dan hubungan strategik dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam urusan pemungutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Langkah itu diambil bagi memudahkan mereka yang berkenaan melaksanakan urusan pembayaran di mana-mana kaunter institusi perbankan dilantik iaitu RHB Islamic Bank Berhad, Alliance Islamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB Bank Berhad, Hong Leong Islamic Bank Berhad, Malayan Banking Berhad dan Public Bank Berhad.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, melalui kemudahan perbankan itu, pedagang dan pendaftar GST akan mendapat kemudahan pembayaran cukai melalui kaunter bank, mesin pendeposit wang, laman sesawang bank berkenaan dan melalui sambungan sistem bank.

“Menerusi pelantikan ini, JKDM berharap bank yang dipilih dapat melaksanakan tanggungjawab dengan memastikan kutipan GST dipungut secara cekap.

“Pada masa sama, kita mempelawa dan mengalu-alukan semua bank tempatan dan antarabangsa untuk menjadi rakan strategik JKDM bagi menyediakan pilihan lebih banyak kepada orang berdaftar untuk membuat bayaran,” katanya pada sidang media selepas menandatangani Perjanjian Ejen Pemungut Cukai (JKDM-BANK) di sini, semalam.

Khazali berkata, pelantikan bank berkenaan bukan bermaksud mereka adalah sebagai ejen mengutip cukai bagi pihak Kastam.

“Orang yang berdaftar ini pergi ke bank dilantik untuk membayar terus ke akaun Kastam, tetapi ada salah faham mengatakan bank ini ejen kutip cukai kita.

“Bank yang dilantik ini mempunyai cawangan di seluruh negara dan tujuan kita adalah mahu memudahkan pembayaran dibuat,” katanya.

Beliau berkata, kastam mengalu-alukan permohonan mana-mana individu atau kumpulan untuk mendapatkan maklumat berhubung pelaksanaan GST namun, perlu menggunakan saluran yang betul.

“Kita bersedia bila-bila masa untuk memberikan maklumat tetapi, perlu dengan cara yang betul misalnya, menulis surat kepada Ketua Pengarah Kastam bagi mendapatkan maklumat dan penjelasan.

“Sekiranya datang dalam bentuk yang disifatkan akan mengakibatkan sesuatu tidak elok berlaku, adakah kita perlu melayan kumpulan seperti ini.

“Justeru, kita membuka ruang kepada sesiapa sama ada individu atau kumpulan dan kita akan memberikan ceramah mengenai GST kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan sekumpulan individu berhimpun di Kompeks Kastam, Kelana Jaya untuk membantah pelaksanaan GST baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Khazali berkata, pihaknya akan menjawab sebarang pertanyaan sepanjang sesi ceramah diadakan.

“Jika tidak boleh menjawab soalan pada masa itu, pegawai terbabit akan mengambil soalan berkenaan terlebih dahulu.

“GST ini perkara baru dan perlu banyak persediaan untuk menjawabnya,” katanya.

Ditanya mengenai persediaan rakyat Malaysia, beliau menyifatkan semua pihak termasuk masyarakat bersedia dengan pelaksanaan GST berkuat kuasa 1 April ini.

“Persediaan ini sebenarnya tidak menjadi isu kerana semua pihak sudah bersedia termasuk rakyat Malaysia berhubung pelaksanaan GST,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 9:50 AM