ABDUL Hadi menewaskan penjaga gol PDRM untuk gol ketiga Selangor di Stadium Shah Alam, kelmarin.
ABDUL Hadi menewaskan penjaga gol PDRM untuk gol ketiga Selangor di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Shah Alam: Selepas mencuba sebanyak tiga kali, akhirnya skuad The Red Giants ceria mengutip tiga mata penuh yang juga kemenangan pertama mereka musim ini dalam saingan Liga Super apabila dengan mudah membelasah pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 1-4 di Stadium Shah Alam, kelmarin.

The Cops yang tampil selaku pasukan tuan rumah pada aksi keempat itu, jelas kelihatan gugup beraksi di hadapan kira-kira 15,000 penyokong setia The Red Giants yang begitu bersemangat bersorak dan memukul paluan rebana sepanjang 90 minit tanpa henti bagi mengiringi perjuangan anak-anak buah Mehmet Durakovic di atas padang.

Jelas, sokongan padu luar biasa daripada penyokong itu berbaloi apabila Selangor berjaya meraih kemenangan sulung selepas hampa dalam tiga aksi sebelum ini dengan hanya mampu seri dua kali ketika berdepan Johor Darul Ta’zim dan Pahang serta tewas sekali.

“Bukan mudah menentang PDRM yang mempunyai pasukan berkualiti, namun malam ini (kelmarin) semuanya menjadi buat kami. Penyerang kami berjaya mencipta banyak peluang dan mereka benar-benar menakjubkan.

“Hazwan Bakri bangkit, Andik Vermansyah bangkit, Guilherme De Paula juga bangkit. Seperti yang saya katakan sebelum ini, pada tiga perlawanan lalu kami mampu meraih keputusan lebih positif cuma masanya belum tiba lagi.

“Namun, malam ini (kelmarin), segala-galanya menjadi. Pemain saya wajar diberi kredit hasil kerja keras dan komitmen tinggi yang dipamerkan mereka sepanjang minggu ini”, katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan, kelmarin.

Selangor yang masih segar dengan kejayaan mara ke pusingan ketiga Piala FA selepas menyingkirkan FELDA United, garang mendahului tuan rumah hasil jaringan pertama Hazwan sebelum tiga lagi penyerang Afiq Azmi, Abdul Hadi Yahya dan Guilherme melengkapkan malam gemilang pelawat.

Sementara itu, pengendali PDRM, Azman Adnan berkata, beliau ternyata kecewa dengan persembahan buruk barisan pertahanannya yang melakukan beberapa kesilapan mudah yang menyebabkan pasukannya tewas besar.

“Tiga daripada empat jaringan Selangor adalah daripada kesilapan pemain pertahanan kami. Mereka bijak mengambil peluang itu dan terus menghukum barisan pemain.

“Jika pertahanan kami lebih fokus dan dapat elakkan daripada melakukan kesilapan, saya yakin kami mampu bersaing. Apapun, kami perlu perbaiki kelamahan itu dan segera perkemaskan aksi kami sebelum turun bertemu Perak di Ipoh nanti”, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 6:18 AM