Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Pengendali Kelantan Mohd Azraai Khor tidak mahu anak buahnya gentar dengan reputasi Selangor selaku pendahulu Liga Super, sebaliknya perlu mengaut kesempatan di tempat sendiri dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.

Azraai pantas mengarahkan semua pemain The Red Warriors (TRW) supaya tidak mudah menyerah kalah walaupun kedudukan dalam liga kini tidak memihak kepada pasukannya.

Bagi beliau, berada di kelompok tiga terbawah Liga Super tidak bermakna mereka boleh bermain sambil lewa sebaliknya harus bangkit memberi tentangan sengit.

Atas kertas, peluang dilihat menyebelahi Selangor yang beraksi konsisten musim ini tetapi Azraai tetap optimis Kelantan turut memiliki peluang sama.

Kehadiran Austin Amutu dan Gilmar Da Santos termasuk Erwin Carillo yang kembali menemui sentuhan mampu memberi impak serta kejutan terhadap skuad kendalian Mehmat Durakovic itu.

Azraai berkata, pertemuan dengan pasukan The Red Giants itu dianggap perlawanan berprofil tinggi serta ujian besar terhadapnya sejak menyertai Kelantan, 24 Mac lalu.

“Kemenangan ke atas Sime Darby Selasa lalu tidak boleh dijadikan ukuran sebaliknya semua pemain perlu waspada dengan ancaman pelawat.

“Kita perlu hati-hati jika tidak mahu kehilangan mata kerana Selangor agak terkenal dengan taktikal serangan yang sentiasa berubah menyebabkan lawan sering terperangkap.

“Perancang utama mereka, Leandro Do Santos mampu membuat Kelantan merana jika tidak dikawal selain Andik Vermansyah, Mohd Afiq Azmi, Ahmad Hazwan Bakri dan Guilherme de Paula Lucrecio,” katanya.

Selangor masih lagi gagal menang di stadium keramat TRW dan faktor itu mungkin melonjakkan semangat The Red Giants yang pastinya mahu menamatkan badi berkenaan.

Menurutnya, beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik Kelantan termasuk trio penyerang import ketika Ahmad Fakri Saarani tidak boleh beraksi berikutan digantung satu perlawanan kerana menerima tiga kad kuning.

“Walaupun harapan Kelantan kini bergantung kepada Amutu, Gilmar dan Carillo, kita sebenarnya tidak boleh mengharapkan mereka 100 peratus.

“Pemain tempatan perlu bangkit dan membuktikan kepada penyokong yang semua pemain TRW hebat serta mampu bersaing dengan mana-mana pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:21 AM