SHAHROM cedera pada aksi menentang The Cops Sabtu lalu.
SHAHROM cedera pada aksi menentang The Cops Sabtu lalu.
Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Kapten Selangor Muhammad Shahrom Kalam kini bergelut untuk pulih daripada kecederaan pangkal paha kerana tidak mahu terlepas aksi Liga Super menentang Sarawak di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pemain pertahanan berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan ketika membantu skuad Red Giants melakar kemenangan bergaya 4-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabtu lalu, iaitu kemenangan pertama mereka dalam empat perlawanan liga.

“Setakat ini saya belum pasti peluang untuk bermain Sabtu ini, mungkin tunggu dua, tiga hari lagi. Aksi dengan Sarawak amat penting dan kalau boleh saya mahu diturunkan untuk membantu pasukan memburu kemenangan,” katanya.

Selangor yang dikendalikan Mehmet Durakovic kembali mengukuhkan status selaku pencabar kejuaraan musim ini dengan aksi lebih menarik ketika membenam PDRM yang mencuri tumpuan dengan mengejutkan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Kelantan.

Dengan keempat-empat jaringan aksi Sabtu lalu dilakukan penyerang Ahmad Hazwan Bakri, Mohd Afiq Azmi, Abdul Hadi Yahaya dan Guilherme De Paula, Shahrom yakin moral pasukan semakin memuncak dengan prestasi jentera serangan itu.

“Ini satu keputusan positif kerana kami tidak boleh harapkan satu, dua pemain saja untuk menjaringkan gol sebaliknya ia tugas semua pemain. Jentera serangan kami sudah mula mendapat sentuhan gol dan ini memberikan keyakinan kepada pasukan,” kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Bagaimanapun, dia mengingatkan rakan sepasukan supaya berwaspada dalam pertemuan dengan Sarawak yang kini menduduki tangga ketujuh, berkongsi lima mata dengan Selangor.

“Kami perlu fokus satu ke satu perlawanan. Kami tidak boleh memandang rendah bukan saja Sarawak, malah semua pasukan kerana bagi saya semua pasukan dalam Liga Super musim ini bukan calang-calang pasukan,” kata Shahrom.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 7:29 AM