Kuala Lumpur: Kembalinya pemain sayap Ahmad Hazwan Bakri (gambar, kiri) daripada penggantungan cukup melegakan pengendali Selangor Mehmet Durakovic yang mahu menajamkan semula jentera serangan bagi aksi kedua Piala Malaysia menentang T-Team di Kuala Terengganu esok.

Aksi hambar gandingan penyerang Mohd Afiq Azmi dan pemain import Guilherme De Paula ketika tewas 0-3 kepada Kelantan Sabtu lalu mencetuskan kebimbangan, namun pengendali itu percaya kehadiran Hazwan boleh membantu pasukan dalam mencari gol.

“Memang ketiadaan Hazwan dirasai pada perlawanan sebelum ini jadi sudah pasti kami amat gembira bila dia sudah boleh beraksi bersama pasukan.

“Hazwan mempamerkan prestasi yang bagus bersama pasukan, tapi saya juga masih menaruh kepercayaan kepada Afiq dan Guilherme. Malah, saya juga mempunyai Andik (Vermansyah) yang boleh membantu serangan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Tanpa sebarang mata, Selangor kini menduduki tangga ketiga Kumpulan C dengan FELDA United dan Kelantan masing-masing berkongsi empat mata di tangga teratas.

Bagaimanapun, Mehmet yang terpaksa melupakan khidmat pemain tengah Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang digantung tiga perlawanan akibat meludah pemain Kelantan mengakui ia bukan tugas mudah untuk menjinakkan T-Team yang turut kecundang pada aksi pembukaan.

“Saya berdepan masalah di bahagian tengah kerana tidak boleh menurunkan Nazmi serta K Gurusamy yang mengalami kecederaan hamstring.

“Kami tidak mempunyai skuad yang besar jadi saya perlu memikirkan pemain terbaik untuk mengisi kekosongan ini. Kami perlu membuat persiapan rapi kerana T-Team pasukan yang bagus jadi tiada jalan mudah buat kami untuk membawa pulang tiga mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:09 AM