GUILHERME De Paula  diasak Mohd Razman Roslan (kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam.
GUILHERME De Paula diasak Mohd Razman Roslan (kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam.
Aziman Rosdi

Shah Alam: Selangor terpaksa mencipta kebangkitan saat akhir untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam semalam.

Pemain pertahanan import baru dari Nigeria Ugo Ukah yang dibawa masuk pada jendela perpindahan pemain awal bulan ini menjadi wira skuad Red Giants yang menyumbat gol kemenangan di penghujung permainan

Selangor yang terdesak untuk memburu kemenangan untuk menghambat dua pasukan teratas Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan FELDA United memulakan asakan menerusi percubaan pemain import Mauro Olivi yang menggegar tiang gol pada minit ke-12.

Pasukan tuan rumah yang kehilangan pemain pertahanan kanan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang berpindah ke Johor DT bagaimanapun dikejutkan menerusi jaringan bekas penyerang Guilherme de Paula pada minit ke-28.

Peluang terbaik Red Giants untuk mengikat kedudukan hadir di minit ke-37 tapi malangnya sepakan Patrick Ronaldinho meliar melepasi palang gol meskipun berjaya menggelecek beberapa pemain pertahanan PDRM.

Selangor memperkemaskan permainan di babak kedua dan berjaya menyumbat gol hasil rembatan penyerang kebangsan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-52 untuk kedudukan 1-1.

Gol itu seakan menyuntik semangat anak buah Zainal apabila terus memperhebatkan asakan dan usaha mereka berbaloi apabila Ukah menyudahkan gerakan sepakan sudut untuk gol kemenangan di minit ke-90.

Tiga mata yang diraih tidak merubah kedudukan Selangor di kedudukan ketiga liga dengan 25 mata namun ia terus menghidupkan peluang mereka untuk mencabar kejuaraan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:22 AM