HM Digital

Kuala Lumpur: Jurulatih Selangor, P Maniam tetap menaruh harapan tinggi untuk pasukannya bangkit memadam kelebihan yang dimiliki Kedah pada aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Aman, 24 September ini.

Sedar tugas getir menanti anak buahnya apabila perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 ke atas Kedah pada aksi timbal balik itu nanti, Maniam bagaimanapun menjelaskan ia bukan perkara mustahil untuk dilakukan.

“Sudah pasti ia bukan satu tugas mudah. Selain perlu mendapatkan gol, kami juga tidak boleh melakukan kesilapan mudah yang boleh memberikan gol lagi buat Kedah.

“Pada masa sama, kami perlu berfikir positif bagi membuktikan betapa Selangor mampu bangkit pada aksi kedua nanti.

“Malah, kami juga mempunyai tempoh seminggu untuk melakukan persiapan dan ia akan digunakan sebaik mungkin,” kata Maniam selepas pasukannya tewas 2-3 kepada Kedah pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.

Kealpaan benteng pertahanan menyaksikan The Red Giants dihukum dengan dua gol mudah oleh pemain import Kedah, Ken Ilso pada babak pertama.

Selangor yang cuba bangkit, berjaya mendapatkan dua gol menerusi Rufino Segovia (gambar) namun belum cukup untuk memadam kelebihan jaringan gol ketiga Kedah yang disumbangkan Syazwan Zainon.

Biarpun tewas, Maniam bagaimanapun tetap memuji persembahan pemainnya sambil menyifatkan Kedah lebih bernasib baik.

“Kami cuma bolos dengan dua gol mudah di babak pertama dan itu kelemahan yang ketara saya dapat lihat.

“Secara keseluruhannya saya fikir Kedah lebih bernasib baik kerana berjaya mendapat kemenangan 3-2 walaupun pemain saya tampil dengan permainan yang cukup baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 2:47 AM