KUALA TERENGGANU 02 MARCH 2015 (BH KT974B / HM KTM478E) Pengarah Kastam Negeri, Datuk Hamzah Sundang merasmikan Majlis Pelancaran Ops GST di Wisma Kastam Terengganu.STR/MOHD SYAFIQ AMBAK
KUALA TERENGGANU 02 MARCH 2015 (BH KT974B / HM KTM478E) Pengarah Kastam Negeri, Datuk Hamzah Sundang merasmikan Majlis Pelancaran Ops GST di Wisma Kastam Terengganu.STR/MOHD SYAFIQ AMBAK
Oleh Khairul Hamizy Ramlee


Kuala Terengganu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu memburu 498 entiti perniagaan yang belum mendaftar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) meskipun pendapatan tahunan mereka melebihi RM500,000.

Pengarahnya, Datuk Hamzah Sundang berkata, meskipun tempoh dipanggil mendaftar GST tamat pada 1 Mac lalu, namun masih terdapat segelintir entiti perniagaan yang ingkar menjalankan tanggungjawab itu.

Menurutnya, daripada 498 entiti perniagaan berkenaan, sebilangan besarnya berpangkalan di Kuala Terengganu iaitu sebanyak 240 diikuti Kemaman (93), Dungun (70), Marang (35), Besut (33), Hulu Terengganu (15) dan Setiu (12).

Justeru katanya, pihaknya kini giat memburu kesemua entiti perniagaan terbabit yang tergolong daripada perniagaan perkongsian, pensendirian dan lain-lain.

"Kita mempunyai 10 kumpulan dengan kekuatan 40 pegawai dari Bahagian GST, Penguatkuasaan, Pematuhan dan Perkastaman.

"Peniaga atau individu yang dilawati anggota akan ditemubual untuk kajian mengenai perniagaan yang dijalankan dan jika didapati mereka layak didaftar wajib, pendaftaran in-situ secara paksa akan dijalankan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Ops GST Bil 1/2015 di Wisma JKDM Terengganu, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 2:46 PM