MAXIME menurunkan ilmu kayak slalom kepada peserta.
MAXIME menurunkan ilmu kayak slalom kepada peserta.
TENANG mengendali kayak menuruni jeram.
TENANG mengendali kayak menuruni jeram.
ANTARA cabaran ialah memasuki gate acara slalom sambil melawan arus.
ANTARA cabaran ialah memasuki gate acara slalom sambil melawan arus.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

Arusnya laju dengan 24 jeram berbatu-batu, menjadikannya benar-benar mencabar dan berbahaya.

Malah, terdapat jeram yang mencapai tahap empat daripada enam tahap kesukaran yang ditetapkan dalam sukan ekstrem arus deras antarabangsa menjadikan Sungai Sedim di Kulim, Kedah, antara destinasi popular sukan 'whitewater' di negara ini.

Jika tidak berhati-hati dan tanpa latihan betul, ia bakal mendatangkan musibah besar kepada sesiapa yang cuba menduganya.

Cabaran ini bagaimanapun tidak menjejas hajat sekumpulan anak muda menyertai Kem Klinik Kayak Slalom Arus Deras yang diadakan di Hutan Lipur Sungai Sedim, baru-baru ini.

Menurut penganjur Rozali Saad, objektif utama program itu untuk melahirkan bakat baru dalam sukan arus deras negara terutama kayak dan slalom arus deras.

"Kita juga dalam proses mendapatkan pengiktirafan daripada Persekutuan Kenu Antarabangsa (ICF) bagi mengiktiraf Sungai Sedim sebagai gelanggang perlumbaan arus deras peringkat dunia.

"Oleh itu, kami perlu bersedia dengan atlet berkemampuan menggalas cabaran pada kejohanan yang akan dijalankan di sini kelak," katanya.

Rozali adalah penggiat sukan kayak aktif di Malaysia yang juga pengasas aktiviti lasak di Sedim sejak awal 1990-an.

Seorang peserta Alif Azrai Rozali berkata, dia bercita-cita menjadi atlet kayak kebangsaan terutama bagi kategori arus deras.

"Saya tidak melepaskan peluang apabila mendengar klinik ini akan diadakan di Sedim biarpun perlu berkampung empat hari di sini," katanya yang mula berkayak sejak berusia 11 tahun.

Bagi merealisasikan hasrat itu, dia melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Syed Ahmad, Perlis, sebuah sekolah sukan yang menumpukan sukan kayak dalam sukatan kokurikulum.

Minat itu dikongsi kakaknya Nor Hazlinda Rozali yang juga atlet kayak Kedah.

"Biarpun berpengalaman dalam sukan kayak, ilmu yang ditimba di sini akan menambahkan kemahiran saya dalam sukan ekstrem ini," kata Hazlinda.

Selain diberi pendedahan mengenai pengendalian kayak arus deras, peserta juga diajar teknik sukan slalom dan undang-undangnya

Hazlinda mengakui latihan paling sukar ialah berkayak melawan arus kerana antara disiplin dalam slalom ialah masuk ke 'gate' melawan arus bagi memperoleh mata.

Paling penting, klinik itu menitikberatkan soal keselamatan di air. Setiap peserta wajib merasai situasi cemas apabila dihanyutkan seorang demi seorang sebelum diselamatkan menggunakan teknik betul

Lebih menarik, peserta dibimbing oleh Maxime Bottex dan Caroline Bourry yang dibawa khas dari Perancis. Mereka adalah jurulatih dan atlet kayak slalom peringkat antarabangsa yang aktif termasuk menulis dalam majalah kayak di negara mereka.

Mereka berdua wakil daripada ICF yang bertanggungjawab menilai dan memberi kelayakan kepada Sungai Sedim sebagai gelanggang pertandingan kayak whitewater yang diiktiraf pada peringkat dunia.

Maxime lebih menumpukan kepada acara slalom, manakala Caroline menekankan teknik pengawalan kayak.

Kehadiran jurulatih professional ini turut menarik minat lima atlet sukan arus deras dari Indonesia untuk sama-sama menimba ilmu di sini.

Bagi Ajeng Eva Kusuma Dewi, 20, apabila mengetahui kedua-dua jurulatih yang terkenal dalam kalangan penggiat sukan lasak itu tiba di Malaysia, dia bersama temannya terus merancang datang ke klinik terbabit.

"Di sini bukan saja dapat belajar banyak kemahiran baru, malah persekitaran yang damai amat menarik minat kami," katanya.

Ajeng juga berterima kasih kepada rakan dari Malaysia yang terbuka menerima kehadiran mereka.

Beliau berjanji kembali semula ke Sedim pertengahan tahun ini bagi menyertai Kejohanan Arus Deras Antarabangsa yang bakal diadakan di sini.

Selain melatih atlet yang sudah mempunyai pengalaman, Kem Klinik Slalom Arus Deras turut menarik minat beberapa peserta baru.

Mohd Ridhwan Razali dari Shah Alam berkata, sebelum ini dia aktif dalam sukan lasak lain seperti mendaki dan triatlon serta ingin mencuba pula berkayak di arus deras.

"Pada mulanya agak sukar mengendalikan kayak menyebabkan ia kerap terbalik kerana kayak ini berbeza dengan kayak lain," katanya.

Bagaimanapun, dengan bantuan tenaga pengajar berpengalaman, dia mampu mengawal kayak berkenaan.

"Dengan tunjuk ajar daripada Caroline, saya mampu mengawal kayak dan teruja melakukannya," katanya.

Program anjuran Rapid Fire Adventures bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dan Pejabat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu ini diharap dapat melahirkan atlet yang bakal mengharumkan Malaysia, bukan sahaja dalam kejohanan peringkat kebangsaan, juga antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:02 AM