Noor Hidayah Tanzizi


Bagan Datuk: Cabaran berkayak seorang wanita sepanjang 361.47 kilometer (km) menyusuri Sungai Perak selama tujuh hari diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Ekspedisi Terpanjang Wanita secara solo.

Sijil berkenaan disampaikan wakil MBOR Nurul Fatihah Mahmood kepada Nur Adilla Abu Hasan, 38, yang melaksanakan Dayungan Ekspresi Negaraku Kayak Solo Wanita 2020 di Dataran Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Nur Adilla berkata, misi dayungannya bermula di Tasik Banding, Gerik pada 27 Disember lalu dan berakhir di Beras Beting Basah, di sini, pada 9.30 pagi semalam.

Menurutnya, pada mulanya sasaran dayungannya sejauh 350 km jika mengikut aliran arus biasa, namun jarak dayungan melebihi sasara kerana Empangan Kenering, Lenggong dibuka dan aliran air lebih deras.

"Misi bermula 8 pagi hingga 5 petang setiap hari dengan jarak paling panjang dilalui adalah 80 km dari Kenering ke Kuala Kangsar.

"Saya bersyukur dapat menamatkan dayungan dengan selamat dan jaraknya melebihi sasaran awal sekali gus membuktikan wanita juga boleh melakukan misi secara solo," katanya ketika ditemui pada majlis penutup dan penyampaian Sijil MBOR bagi kategori Ekspedisi Terpanjang Wanita di Dataran Bagan Datuk, di sini.

Majlis pengiktirafan itu turut disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rungkup yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan penaung ekspedisi, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia meminati aktiviti lasak dan sukan berkayak sejak tiga tahun lalu di mana misi terbabit adalah dayungan pertamanya secara solo dengan jarak jauh.

Menurutnya, dia mengambil masa lebih setahun melakukan persiapan kerana latihan di lapangan terpaksa ditangguhkan sementara susulan wabak Covid-19 dan melebihkan latihan di gimnasium dan aktiviti sukan lain seperti badminton.

"Ekspedisi kali ini mempunyai cabaran tersendiri. Antara pengalaman sukar dilupakan apabila tersangkut dalam lumpur setinggi satu meter di Sungai Dulang, Bagan Datuk ketika mahu ke kayak untuk memulakan dayungan.

"Saya terpaksa mengoyangkan badan hampir 20 minit bagi memudahkan pergerakan dan masuk ke kayak. Pengalaman itu menjadi kenangan manis dan mengajar saya supaya tidak mudah berputus asa," katanya.

Kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Perak itu juga berhasrat mahu melakukan misi dayungan bersama rakan, Saidatul Atiqa Md Isa, 31, di Danau Toba, Indonesia yang dijangka pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 1:44 PM
Pendayung kayak solo wanita, Nur Adilla Abu Hasan, 38, menerima pengiktirafan selepas menamatkan dayungan sejauh 361.47 kilometer menyusuri Sungai Perak pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil MBOR bagi kategori Ekspedisi Terpanjang Wanita di Dataran Bagan Datuk, Bagan Datuk. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Pendayung kayak solo wanita, Nur Adilla Abu Hasan, 38, menerima pengiktirafan selepas menamatkan dayungan sejauh 361.47 kilometer menyusuri Sungai Perak pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil MBOR bagi kategori Ekspedisi Terpanjang Wanita di Dataran Bagan Datuk, Bagan Datuk. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI