ARUS deras yang sentiasa mencabar memerlukan teknik pengendalian yang betul.
ARUS deras yang sentiasa mencabar memerlukan teknik pengendalian yang betul.
Hafiz Ithnin

Pengalaman berbeza ketika aktiviti berkayak arus deras di Hutan Lipur Sungai Sedim, Kulim, Kedah ini membuatkan ia sering menjadi sebutan.

Tidak mustahil apabila terdapat pengunjung luar datang semata-mata ingin merasai pengalaman aktiviti ekstrem.

Penulis yang kali pertama mengunjungi kawasan itu sememangnya rasa agak teruja. Apatah lagi sejak kali pertama melakukan aktiviti kayak arus deras di Gopeng, Perak pada pertengahan tahun ini, nama Sungai Sedim sering menjadi sebutan dalam kalangan peminat aktiviti lasak itu.

Sebaik berada di kawasan hutan lipur berkenaan, keadaan tenang menyambut kehadiran penulis dan rakan. Kemudahan penginapan turut disediakan.

Lebih mengujakan apabila melihat kejernihan air Sungai Sedim yang masih tidak tercemar dan difahamkan tahap kebersihannya membolehkan airnya diminum tanpa perlu dimasak.

Bagi aktiviti berkayak arus deras kali ini, penulis menggunakan perkhidmatan operator anak tempatan, Rapid Fire Sdn Bhd yang dimiliki Nazirul Ikram Rozali. Beliau cukup berpengalaman dalam aktiviti berkenaan.

Nazirul Ikram berkata, Sungai Sedim antara lokasi kayak arus deras yang paling popular di Malaysia terutama bagi melaksanakan kejohanan kerana ia mempunyai tahap kesukaran sangat mencabar kemampuan peserta.

TAKLIMAT keselamatan dan mengawal kayak perlu difahami peserta.
TAKLIMAT keselamatan dan mengawal kayak perlu difahami peserta.

Katanya, laluan arus deras di pelbagai jeram yang mempunyai ketinggian berbeza juga antara faktor Sungai Sedim sering menjadi pilihan penganjuran kejohanan aktiviti berkenaan.

“Di sini, laluan arus deras mempunyai pelbagai peringkat bermula dengan sekadar aktiviti rekreasi biasanya dalam jarak dua hingga 2.5 kilometer (km) hingga ke peringkat tertinggi profesional yang memerlukan peserta bermalam.

“Aktiviti ini juga bukan sekadar mendapat sambutan peminat sukan ekstrem tempatan, malah penggiat rekreasi dari luar negara seperti Indonesia dan warga asing yang tinggal di Malaysia.

“Antaranya warga Australia, New Zealand dan Jerman menyukai lokasi ini untuk menguji kemampuan mereka dalam aktiviti kayak arus deras,” katanya.

Ternyata, apa yang dikatakan Nazirul Ikram sebelum penulis melakukan aktiviti itu adalah benar belaka meskipun hanya berkayak sepanjang 2.5 km, kesukaran mengendalikan kayak sememangnya mencabar kemampuan diri.

Penulis memulakan aktiviti dari Titi Cina hingga Lubuk Buloh melalui jeram seperti Royal Repeat, MB Corner, Fly Repeat, Wall Repeat, Elbow Fall, Kiss Drop dan Action Repeat.

PESERTA didedahkan dengan aktiviti membiasakan diri dengan air sebelum melakukan kayak arus deras.
PESERTA didedahkan dengan aktiviti membiasakan diri dengan air sebelum melakukan kayak arus deras.

Paling sukar tentunya ketika melalui Elbow Drop kerana rakit yang dinaiki peserta perlu dijatuhkan pada ketinggian sekitar tiga meter untuk meneruskan perjalanan.

Sekiranya gagal mengawal dan mengimbangkan kedudukan, pasti ada yang terjatuh ke dalam air atau kayak terbalik. Bagaimanapun, kru keselamatan yang bertugas sentiasa memastikan keadaan peserta dalam keadaan baik.

Meskipun kedudukan Sungai Sedim agak jauh dari kawasan bandar, namun ia sering mendapat sambutan penggiat rekreasi di seluruh Malaysia. Dalam tempoh setahun dikatakan berjaya merekodkan hingga 800 pelanggan yang melakukan aktiviti berkenaan.

“Bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur, sudah pasti Gopeng menjadi destinasi untuk melakukan aktiviti berkenaan kerana jaraknya lebih dekat. Bagaimanapun, jika anda datang ke Sungai Sedim, terdapat kelainan cabaran yang boleh diterokai.

“Waktu terbaik untuk melakukan aktiviti ini adalah pada September hingga Januari kerana paras air agak tinggi dan memudahkan pergerakan kayak,” katanya.

CABARAN melakukan kayak arus deras di Sungai Sedim bukan sesuatu yang asing.
CABARAN melakukan kayak arus deras di Sungai Sedim bukan sesuatu yang asing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 8:30 AM