Muhamaad Razis Ismail

PADA suatu ketika dahulu, Sungai Lembing, Pahang begitu dikenali antara lokasi melombong bijih timah yang cukup terkenal di negara ini.

Kini, lokasi ini menjadi tarikan kepada pencinta alam semula jadi kerana memiliki keindahan flora dan fauna yang menarik.

Kedudukannya yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari bandar Kuantan menjadikan Sungai Lembing sebagai lokasi tumpuan terutama pada hujung minggu.

Fatimah Al Zahra Naamat, 36, berkata, sebagai peminat aktiviti rekreasi, dia sudah beberapa kali ke Sungai Lembing untuk melakukan pelbagai aktiviti rekreasi termasuk ke Air Terjun Pelangi, Bukit Panorama, Air Terjun Sungai Pandan dan Gunung Tapis.

"Ketika melakukan aktiviti rekreasi, saya berkenalan dengan seorang operator Sungai Lembing Recreation yang mengajak saya menyertai aktiviti berkayak di Sungai Lembing.

BERKAYAK memerlukan kerjasama.
BERKAYAK memerlukan kerjasama.

SUNGAI Lembing memiliki bentuk sungai yang berbeza.
SUNGAI Lembing memiliki bentuk sungai yang berbeza.

"Pada mulanya, saya agak gugup dan takut kerana bimbang tidak dapat mengendalikan kayak dengan baik berikutan sudah lama tidak melakukan aktiviti ini.

"Bagaimanapun, selepas diberikan taklimat dan tunjuk ajar mengenai teknik yang betul, saya kembali yakin untuk melakukan aktiviti ini," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia bersama dua rakannya yang dikenali sebagai Dee dan Mira bertolak dari Segamat, Johor ke Sungai Lembing pada jam 12 tengah malam, November 2020.

"Pada mulanya, kami merancang untuk tidur di Sungai Lembing Backpackers Lodge, namun disebabkan tiba agak lewat, kami tidur dalam kereta selama beberapa jam sebelum memulakan aktiviti pada 7 pagi.

"Selepas menikmati sarapan yang disediakan Sungai Lembing Recreation, kami dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk ke lokasi permulaan berkayak," katanya.

Sebaik tiba, mereka bersama-sama menurunkan kayak dari lori dan mengangkat segala peralatan yang diperlukan.

FATIMAH (kiri) bersama rakannya yang turut berkongsi minat yang sama.
FATIMAH (kiri) bersama rakannya yang turut berkongsi minat yang sama.

"Selepas masing-masing mengambil jaket keselamatan dan pendayung, kami diberi taklimat berkenaan ekspedisi kayak ini dan diajar teknik mendayung serta mengawal kayak dengan betul.

"Kemudian kami melakukan aktiviti keyakinan di air dengan setiap peserta perlu masuk dalam sungai dan membiarkan diri terapung dibawa arus sejauh 50 meter," katanya.

Sebaik selesai, ekspedisi berkayak dimulakan secara santai berikutan arus tidak terlalu deras.

"Saya bersama rakan mengambil kesempatan berlatih mempraktikkan teknik mendayung dan mengawal kayak serta membina keserasian.

"Lama-kelamaan baru kami selesa dan dapat mengemudi kayak dengan lancar bersama-sama," katanya.

Jelasnya, sepanjang ekspedisi itu, dia berpeluang melihat hidupan di tebing sungai dengan lebih dekat dari perspektif yang berbeza.

"Antaranya, saya dapat lihat pokok rotan melingkar dan melilit pokok lain untuk naik ke atas. Selain itu, saya dapat melihat enau dalam belukar dapat melepaskan 'diri' dan 'berdiri' paling tinggi berbanding kumpulan pokok yang lain.

"Sesekali terdapat burung yang hinggap di dahan tepi sungai, seakan-akan menyapa kedatangan kami.

"Saya dapat melalui pelbagai bentuk alur sungai yang lurus, berliku, besar, sempit dan mempunyai kederasan arus yang berbeza," katanya.

AKTIVITI keyakinan di air sebelum memulakan ekspedisi.
AKTIVITI keyakinan di air sebelum memulakan ekspedisi.

Katanya, antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang ekspedisi ini adalah apabila kayak yang dinaiki terbalik ketika melalui kawasan berarus deras.

"Bentuk sungai yang berliku menyebabkan kayak sedikit senget ke kanan sebelum dimasuki air sehingga ia terbalik.

"Ketika detik mencemaskan itu, saya bersama rakan terjatuh dalam sungai sebelum diselamatkan kru," katanya.

Tambahnya, selepas tiga jam berkayak, akhirnya mereka selamat tiba di lokasi yang dituju.

"Sekali lagi, kami mengangkat kayak dan barang keperluan ke dalam lori sebelum menaiki pacuan empat roda.

"Kemudian kami dijamu dengan nasi ayam dan air sejuk sebagai 'ganjaran kemenangan' selepas tiga jam berada dalam kayak," katanya.

Fatimah berkata, berkayak di Sungai Lembing adalah aktiviti yang menyeronokkan, namun memerlukan persediaan rapi.

"Pakai topi dan bawa air minum mencukupi. Selain itu, bawa makanan ringan untuk mengalas perut dan menambah tenaga. Beg kalis air diperlukan untuk menyimpan barang berharga seperti telefon dan dompet," katanya.

BERSAMA peserta kayak Sungai Lembing.
BERSAMA peserta kayak Sungai Lembing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 7:00 AM