Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pertahanan tengah, Muhammad Shahrom Abd Kalam dijangka menjadi pilihan Mehmet Durakovic mengetuai Selangor mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 30 tahun itu dijangka menggantikan tugas rakan sepasukan, Mohd Bunyamin Omar sebagai kapten Merah Kuning.

Musim lalu Bunyamin dilantik menggalas tanggungjawab itu menggantikan Asraruddin Putra Omar yang membuat keputusan berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

Durakovic yang membimbing Selangor muncul naib juara Liga Super 2014 masih belum mengumumkannya secara rasmi, namun hingga kini Shahrom bertindak sebagai kapten dalam tiga perlawanan persahabatan rasmi Merah Kuning ketika tewas 0-2 kepada Pulau Pinang, Jumaat lalu.

“Kami belum memutuskan soal itu. Kami masih ada beberapa minggu sebelum saingan bermula,” kata Durakovic.

Shahrom dilihat memiliki kemampuan untuk memimpin rakan sepasukan selain pengalaman luas dimilikinya sejak memulakan karier bersama skuad Piala Presiden Kuala Lumpur pada 2004.

Shahrom menyertai Selangor musim lalu selepas bersama Perak selain pernah beraksi bersama Kuala Lumpur dan Shahzan Muda.

Aspek kepimpinan antara perkara penting perlu menjadi fokus Durakovic musim ini bagi memastikan Selangor terus mencabar selepas kehilangan tiga tonggak utama, Paulo Rangel, S Kunanlan dan Mohd Farizal Marlias.

Malah desakan semakin kuat buat Merah Kuning menamatkan kemarau kejuaraan sejak beberapa tahun lalu, tetapi aksi tiga persahabatan awal musim masih belum mencerminkan keputusan positif apabila gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 6:31 AM