RIZAL (bawah) mahu rakan sepasukan fokus hadapi LionsXII.
RIZAL (bawah) mahu rakan sepasukan fokus hadapi LionsXII.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Selangor turun menentang LionsXII di Stadium Shah Alam, malam esok dengan misi meraih tiga mata untuk mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas Liga Super.

Pertahanan tengah Merah Kuning Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid berkata, pemain kelihatan lebih bersemangat dan dahagakan kemenangan selepas kejayaan menumbangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sabtu lalu.

Kemenangan itu membolehkan Selangor mengumpul 14 mata mengungguli kedudukan teratas Liga Super, berkongsi mata bersama FELDA United dan Terengganu namun dibezakan dengan kelebihan jaringan.

“LionsXII sebuah pasukan yang kuat dan pemainnya sentiasa bekerja keras. Sebagai tuan rumah, kami perlu fokus dan memberikan persembahan 100 peratus di depan penyokong sendiri.

“Tekanan untuk mengekalkan kedudukan memang ada namun kami perlu berusaha gigih dan mengikut perancangan jurulatih,” kata pertahanan tengah itu yang tampil sebagai kapten untuk tiga perlawanan susulan kecederaan Mohd Shahrom Abd Kalam.

Bagaimanapun Shahrom dijangka kembali mengetuai Merah Kuning malam esok apabila cergas sepenuhnya untuk bergandingan dengan Rizal Fahmi mengemudi pertahanan tengah dengan Robert Cornthwaite bakal tersisih susulan kecederaan ketika menentang ATM.

Selangor kini mempunyai kelebihan tiga jaringan berbanding FELDA United dan Terengganu, anak buah Mehmet Durakovic tidak mempunyai pilihan lain selain melakar kemenangan bagi mengekalkan kedudukan.

“Tahap permainan konsisten perlu diteruskan, semua rakan sepasukan bersemangat untuk meneruskan rentak kemenangan,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 10:03 AM