ANDIK (kanan) ceria meraikan jaringan pertama Selangor.
ANDIK (kanan) ceria meraikan jaringan pertama Selangor.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Kapten Selangor Shahrom Abd Kalam memuji semangat berpasukan yang tinggi dipamerkan pemain Merah Kuning untuk membolehkan mereka muncul pasukan pertama ke suku akhir Piala Malaysia.

Berbaki satu perlawanan, anak buah Mehmet Durakovic kini boleh bergembira apabila berjaya mengharungi saingan Kumpulan C yang dilabel “kumpulan maut”.

Merah Kuning turut bergelar juara kumpulan apabila tiga pasukan lain, T-Team, FELDA United dan Kelantan, sudah tidak mampu menyaingi 10 mata yang diraih.

Kejayaan muncul juara Kumpulan C akan membolehkan Selangor mengelakkan daripada bertemu juara Liga Super, Johor DT yang dijangka mengungguli Kumpulan B.

“Kami gembira mampu mengekalkan rentak kemenangan sebelum tempoh rehat. Kami berjaya mengekalkan fokus dan kerja keras sepanjang perlawanan malam tadi (malam kelmarin).

“Lebih penting, bagi saya semangat sepasukan yang tinggi dipamerkan setiap pemain membolehkan kami melepasi saingan peringkat kumpulan ini,” jelasnya.

Selangor melakar kemenangan pertama dalam kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam dengan menewaskan T-Team 2-1 hasil jaringan Andik Vermansah dan Ahmad Hazwan Bakri.

“Kejayaan melangkah sebagai lapan pasukan terbaik dengan lebih awal turut dilihat sebagai membalas sokongan pihak pengurusan dan peminat kepada kami,” ujarnya.

Selangor yang juga juara 32 kali Piala Malaysia akan menamatkan cabaran Kumpulan C menentang FELDA United pada 8 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 9:44 AM