JING Yi puji peningkatan permainan Fie Cho.
JING Yi puji peningkatan permainan Fie Cho.

Kuala Lumpur: Gandingan baru beregu wanita, Soong Fie Cho-Tee Jing Yi terus melakar pencapaian terbaik di Cabaran Antarabangsa Thailand apabila mengetepikan pilihan utama dari Jepun Ayako Sakuramoto-Yukiko Takahata semalam.

Fie Cho-Jing Yi mencatat kemenangan straight set untuk menempah slot suku akhir dan bakal berdepan lawan dari negara sama, Misato Aratama-Akane Watanabe.

“Pasangan Jepun yang kita lawan hari ini (semalam) memang mempunyai kelebihan dari segi bertahan selain melakukan smash tinggi,” kata Jing Yi ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Bagaimanapun, dia mengakui kunci kekuatan mereka adalah beraksi dengan penuh sabar dan jika mendapat peluang melakukan serangan mereka tidak melepaskannya.

“Kami memang sentiasa berhati-hati ketika mereka menyerang dan keserasian saya dengan Fie Cho juga semakin bagus. Ada peningkatan dan kami sentiasa bincang walaupun ketika di luar gelanggang,” katanya.

Turut mara pasangan muda, Pearly Koong-Toh Ee Wei yang menumpaskan Miku Shigeta-Haruka Yonemoto, juga dari Jepun 21-14, 21-23, 21-15.

Mengiringi mereka ialah perseorangan wanita, S Kisona yang menumpaskan pilihan ketiga dari Taiwan, Shuo Yun Sung 19-21, 21-13, 21-13.

Turut mara perseorangan lelaki Soo Teck Zhi yang mengalahkan Andre Marteen (Indonesia) 19-21, 21-14, 22-20 .

Pasangan beregu campuran, Hoo Pang Ron-Peck Yen Wei menumpaskan pasangan tuan rumah, Nonthawat Sattanako-Walaiphan Patimon 21-17, 21-9.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 9:40 AM