VIVIAN (kanan) dan Khe Wei lepasi pusingan kedua GP Emas Terbuka Indonesia, semalam.
VIVIAN (kanan) dan Khe Wei lepasi pusingan kedua GP Emas Terbuka Indonesia, semalam.

Kuala Lumpur: Dua pasangan beregu wanita negara tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir Grand Prix Emas Terbuka Indonesia apabila masing-masing berjaya mengalahkan wakil tuan rumah pada pusingan kedua di Gedung Graha Cakrawala, Malang, semalam.

Beregu wanita negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei menumpaskan gandingan Della Destiara Haris-Rosyita Eka Putri Sari 19-21, 21-14, 21-16 manakala Chow Mei Kuan-Lai Pei Jing menang ke atas Apriani Rahayu-Jauza Fadhila Sugiarto 21-15, 21-19.

Vivian-Khe Wei yang juga pilihan kedua kejohanan akan bertemu pasangan China, Tang Yuanting-Yu Yang manakala Mei Kuan-Pei Jing pula berdepan wakil tuan rumah Komala Dewi-Vita Marissa pada suku akhir hari ini.

“Lawan hari ini (semalam) tidak sekuat semalam (kelmarin), tapi kami tetap fokus serta memberi tentangan sebaik mungkin. Bagaimanapun, pada set kedua mereka mendapat rentak, walaupun ketinggalan tapi kami berusaha untuk mendapat mata demi mata,” kata Pei Jing.

Bagaimanapun, satu lagi pasangan beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho tumpas di tangan Suci Rizky Andini-Maretha Dea Geovani 15-21, 11-21 dan gandingan beregu lelaki, Low Juan Shen-Tan Kian Meng turut gagal mara selepas kalah kepada pilihan keempat kejohanan Angga Pratama-Ricky Karanda Suwardi 21-17, 17-21, 14-21.

Turut terkandas semalam pemain perseorangan lelaki Goh Soon Huat yang tewas Qiao Bin dari China 21-9, 14-21, 11-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:11 AM