EE Yi (kanan) bersama Yew Sin tewas kepada Arif Latif-Azriyn  21-17, 18-21, 21-11. FOTO/FAIL
EE Yi (kanan) bersama Yew Sin tewas kepada Arif Latif-Azriyn 21-17, 18-21, 21-11. FOTO/FAIL
Ferzalfie Fauzi


GANDINGAN beregu profesional, Arif Latif-Azriyn Nur Ayup melakar kejutan di separuh akhir Kejohanan Kebangsaan selepas menumpaskan pasangan nombor dua negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Arif-Azriyn mengambil masa hampir sejam untuk mencatat kemenangan 21-17, 18-21, 21-11 dan bakal berdepan pilihan utama, Goh V Shem-Tan Wee Kiong di perlawanan akhir esok.

“Sudah lama saya tidak bergandingan bersama Azriyn, di mana kali terakhir pada 2015 namun memang kami bercadang untuk bergabung kembali dan memulakan aksi di peringkat antarabangsa bermula April depan,” kata Arif.

Jelasnya, dia dan Azriyn cuba untuk meraih sesuatu di kejohanan ini sebelum mereka memulakan aksi di peringkat antarabangsa.

“Sasaran kita memang hendak menumpaskan beberapa gandingan yang mengambil bahagian di sini,” kata bekas pemain perseorangan lelaki negara itu.

Ditanya adakah dia sudah memikirkan mengenai peluang diserapkan ke dalam skuad Piala Thomas selepas berjaya mara ke perlawanan akhir dan mengalahkan wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain kelahiran Negeri Sembilan itu mengakui kedudukan mereka agak tipis.

“Bagi diri saya sendiri kalau diberi peluang memang saya akan ambil tapi saya melihat kami seperti tidak ada harapan,” katanya yang kali pertama berdepan V Shem-Wee Kiong.

V Shem-Wee Kiong berjaya mara ke perlawanan akhir selepas menumpaskan pilihan ketiga, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen 21-13, 23-21.

Dalam aksi beregu wanita, Goh Yea Ching-Soong Fie Cho berjaya mara ke final selepas mencatat kemenangan 21-14, 22-20 ke atas Tee Jing Yi-Yap Zhen 21-14, 22-20.

Mereka akan berdepan Chow Mei Kuan-Yap Cheng Wen yang sebelum itu mengalahkan Vivian Hoo-Teoh Mei Xing 21-17, 20-22, 21-19.

Sementara itu, dalam aksi beregu campuran seperti dijangka pilihan utama, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mudah mara ke perlawanan akhir selepas menumpaskan Chang Peng Soon-Mei Kuan 21-11, 21-13.

Menanti mereka di perlawanan akhir ialah Goh Soon Huat-Shevon Lai yang berjaya mencatat kemenangan ke atas Hoo Pang Ron-Peck Yen Wei 21-19, 21-13.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 10:12 PM