LEE Chong Wei.
LEE Chong Wei.
PENG Soon (kiri) dan Liu Ying turut mara ke pusingan kedua.
PENG Soon (kiri) dan Liu Ying turut mara ke pusingan kedua.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Seperti dijangka Datuk Lee Chong Wei tidak berdepan masalah bermula dengan langkah kanan di Terbuka Jepun apabila menumpaskan wakil Thailand Boonsak Ponsana pada pusingan pertama semalam.

Kejohanan sulung Chong Wei selepas meraih perak di Sukan Olimpik Rio bulan lalu dan Boonsak yang menjadi mangsa pertamanya di Gimnasium Metropolitan Tokyo dikalahkan dengan straight set, 21-14, 21-13.

“Saya bermain seperti biasa ketika bertemu Boonsak, lawan sama ditemui pada Terbuka Jepun tahun lalu. Saya hanya fokus terhadap permainan sendiri saja,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Jelasnya, tidak kira siapa pemain yang akan ditemuinya di pusingan kedua hari ini, Chong Wei mengakui dia perlu hadapinya seperti biasa dan tetap fokus kepada rentak sendiri.

Menantinya di pusingan kedua hari ini pemain muda China Qiao Bin yang mengejutkan wakil Denmark Hans Kristian Vittinghus 23-25, 21-12, 21-14.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin terkandas apabila kalah kepada HS Prannoy dari India 23-21, 19-21, 21-18.

Pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula ke pusingan kedua apabila menumpaskan Bodin Isara-Nipitphon Phuangphuapet (Thailand) 21-12, 21-7 dan mereka akan berdepan Huang Kaixiang-Wang Yilyu dari China.

Turut mara beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang mengalahkan pasangan tuan rumah, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara 21-19, 21-12 dan hari ini mereka akan menentang Miki Kashihara-Miyuki Kato juga dari Jepun.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan Matthew Nottingham-Emily Westwood dari England 21-13, 21-15 dan bakal berentap dengan Jacco Arends-Selena Piek dari Belanda hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 9:06 AM